Disediakan oleh: Mohd Khairi Baharom (PhD)
Pengenalan
Di Malaysia, tidak banyak institusi pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan kursus bidang seramik ini. Universiti Teknologi MARA merupakan pioneer menawarkan program seramik yang telah melahirkan ramai artis atau pengkarya dan pereka seramik tanah air. Persoalannya apakah bidang seramik ini? Saya akan cuba memberikan jawapan yang terbaik berdasarkan pengalaman saya sebagai tenaga pengajar di dalam bidang ini sejak tahun 2000 hingga kini di UiTM Cawangan Perak.
Jabatan Seramik, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Cawangan Perak
Bidang Seni Seramik
Terma seramik yang secara mudahnya didefinisikan sebagai suatu bahan tanah liat (bukan organik) yang dibakar pada suhu yang tinggi menyebabkan bahan tanah liat ini berubah menjadi kaca dan keras. Berdasarkan terma ini telah memberikan satu gambaran bahawa bahan seramik ini mempunyai kaitan secara langsung dengan teknologi bahan atau kimia.
Apabila dikatakan berkaitan dengan teknologi, maka, ianya adalah benar bahawa pembuatan seramik merupakan satu pencapaian teknologi termaju yang pernah manusia lakukan sejak 20,000 tahun dahulu. Manusia menghasilkan teknik pembakaraan untuk mendapatkan suhu tertentu untuk pencapaian sesuatu peringkat kualiti produk seperti gerlis (permukaan kaca bewarna), penyediaan kualiti tanah liat untuk kegunaan kaedah penghasilan produk dan jenis produk untuk fungsi-fungsi tertentu. Pencapaian manusia dengan teknologi seramik ini masih berkembang sehingga sekarang di mana kebanyakkan peralatan elektronik rumah, kenderaan dan hingga ke teknologi angkasa lepas menggunakan bahan seramik seperti break kenderaan, bearings, bahan pelindung enjin kenderaan, kapasitor, RAM (Random Access Memory), processor, sebagai bahan pelindung dinding luaran kapal angkasa (tahan haba yang tinggi), ekzos jet, penebat haba dan lain-lain lagi. Jika dibaca kenyataan ini boleh dikatakan bidang seramik ini merupakan luas diperkembang dan digunakan dalam bidang kejuruteraan. Akan tetapi bagaimana pula untuk bidang seramik di IPT?
Apa yang saya bincangkan di sini adalah tentang bidang seramik yang ditawarkan di UiTM sahaja. Program seramik di UiTM bermatlamatkan menghasilkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran, beretika serta profesional di dalam bidang. Secara keseluruhannya, kursus-kursus yang terdapat di dalam program ini berfokuskan kepada kemahiran menghasilkan karya kreatif dan reka bentuk produk berinovatif moden kontemporari dan bukannya menghasilkan produk kraf tradisional seperti labu sayong atau tempayan.
Karya Arca Mahasiswa Program Seramik
Pengajaran dan Pembelajaran Program Seni Seramik
Para mahasiswa di dalam program ini didedahkan dengan pengetahuan terkini serta digalakkan menghasilkan karya estetik (arca) atau rekaan produk inovatif berdasarkan kreativiti masing-masing. Mahasiswa menggunakan minat kreatif masing-masing dalam menghasilkan produk atau karya akhir berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi. Sebagai contoh, terdapat mahasiswa yang menggunakan minat terhadap anime Jepun dan menghasilkan karya figura mengikut tema yang diberikan. Daya kreativiti pelajar mengolah reka bentuk asas anime yang dipilih digabungkan dengan tema yang disediakan menjadikan kelainan reka bentuk dan konsep karya yang dihasilkan. Contoh lain; terdapat mahasiswa yang minat terhadap produk pembahagi air (water dispenser). Mahasiswa ini akan mengolah membuat asas penyelidikan rekabentuk berdasarkan rujukan reka bentuk yang sedia ada untuk memastikan fungsi pada rekaan terbaru akan lebih efisyen dan mempunyai gaya reka bentuk moden kontemporari berdasarkan tema yang diberi.
Karya Arca Mahasiswa Seramik
Apakah kaedah penghasilan seramik? Mahasiswa akan mempelajari proses penghasilan produk atau karya seramik menggunakan kaedah formal pembuatan. Terdapat tiga jenis kaedah utama penghasilan seramik yang perlu difahami dan diperolehi kemahiran oleh mahasiswa iaitu; teknik buatan tangan (handbuilding method; studio), teknik lemparan alin (throwing method; studio) dan teknik tuangan slip (slip casting method; industry). Kesemua kaedah ini merupakan kaedah wajib yang akan dipelajari oleh mahasiswa semasa di UiTM dan juga merupakan kaedah yang sama digunakan oleh industri seramik di seluruh dunia. Secara tidak langsung, para graduan program seramik ini telah dilengkapi pengetahuan dan kemahiran global membolehkan mereka bekerja dengan industri seramik tempatan dan antarabangsa. Terdapat beberapa orang graduan program seramik UiTM telah menyambung pelajaran mereka di dalam bidang yang sama di peringkat sarjana muda, sarjana dan PhD ke luar negara seperti Jepun, Australia, dan United Kingdom
Kaedah Lemparan Alin (Throwing Method)
Bonus Pengetahuan dan Kemahiran Mahasiswa Program Seni Seramik
Apa yang menarik lagi, mahasiswa di dalam program ini juga akan mempelajari reka bentuk 3-D menggunakan komputer. Antara perisian 3-D (CAD/CAM) yang diajar adalah AutoCAD dan SOLIDWORK 3D, menjadikan mereka dilengkapi kemahiran tambahan yang membolehkan mereka bergraduat dan bekerja dengan mana-mana industri yang memerlukan pekerjaan merekabentuk produk 3-D yang tidak semestinya dalam industri seramik, seperti produk plastik, produk mainan, animasi, dan lain-lain yang memerlukan lukisan secara 3-D (CAD/CAM).
Lukisan 3-D Projek Menggunakan Aplikasi SOLIDWORKS 3D
Selain dari perisian 3-D yang diajar, apakah kelebihan lain yang diperolehi oleh mahasiswa program ini? Di dalam kurikulum program ini terdapat beberapa kemahiran lain yang diajar seperti kursus pengkomersilan. Kursus ini membolehkan mahasiswa meneroka produk-produk yang berada dipasaran dan membuat inovasi penghasilan produk baru yang setanding dipasaran. Secara tidak langsung, kursus ini membolehkan mahasiswa menguasai kemahiran keusahawanan yang boleh membuka peluang mereka menjadi usahawan seramik jika berminat secara hobi ataupun sepenuh masa setelah bergraduat.
Mahasiswa Didedahkan Dengan Program Keusahawanan
Diperingkat awal pembelajaran dan pengajaran program seramik, mahasiswa dilatih melukis dan mempelajari teori prinsip dan elemen seni lukis dan seni reka menjadikan mereka lebih berpengetahuan dan berkemahiran dalam lukisan. Kursus-kursus ini melengkapkan mereka untuk menguasai terma seni lukis dan seni reka secara khusus dan membolehkan mereka membuat persembahan secara lisan dan visual menggunakan pengetahuan ini. Ilmu pengetahuan ini adalah penting untuk mana-mana mahasiswa seni menguasainya sebagai pelengkap untuk pekerjaan dalam bidang seni di masa depan.
PROJEK SERAMIK YANG DIHASILKAN PELAJAR
Bahagian ini saya akan memberikan penerangan proses asas projek seramik studio (teknik buatan tangan atau teknik lemparan alin) sahaja. Untuk proses projek seramik industri (teknik tuangan slip) agak berbeza. Setiap semester pengajaran dan pembelajaran di dalam program seni seramik akan mempunyai projek-projek penghasilan karya atau produk seramik berdasarkan konsep atau tema yang diberikan. Keperluan mahasiswa menghasilkan karya atau produk mengikuti tema ini adalah sebagai satu proses pembelajaran case study untuk membiasakan mahasiswa cuba menghasilkan sesuatu produk atau karya berdasarkan penyelidikan tema atau konsep berkenaan. Kaedah ini adalah satu simulasi seperti pelanggan atau majikan memberikan tugasan konsep penghasilan karya atau produk kepada pereka/pengkarya (mahasiswa).
Penyelidikan Merupakan Asas Mengenalpasti Projek di Peringkat Awal
Berdasarkan tema atau konsep ini, mahasiswa akan menghasilkan satu dokumentasi penyelidikan konsep berkenaan dan membuat persembahan dokumentasi berkenaan dalam bentuk moodboard. Persembahan ini akan disemak dan dikomen oleh pensyarah yang mengajar. Mahasiswa lain juga akan membantu memberikan cadangan atau komen yang mungkin boleh dipertimbangkan untuk penambahbaikan. Kaedah persembahan ini melatih soft skills mahasiswa secara berterusan menjadikan mereka lebih berkeyakinan tinggi dalam sesuatu pembentangan.
Selepas moodboard, mahasiswa akan mula menghasilkan lukisan perkembangan idea berdasarkan komen dan cadangan pensyarah dan rakan-rakan. Satu jumlah lukisan perkembangan idea dihasilkan dan mahasiswa akan memilih beberapa lukisan yang terbaik dibincangkan dengan pensyarah untuk memilih reka bentuk produk atau karya akhir. Kriteria pemilihan lukisan reka bentuk karya atau produk akhir ini berdasarkan rekaan yang mempunyai penterjemahan yang baik antara konsep dan reka bentuk.
Lukisan Perkembangan Idea
Setelah reka bentuk akhir dipilih maka mahasiswa akan mula menghasilkan model atau prototaip menggunakan tanah liat. Tujuan menghasilkan model atau prototaip ini adalah untuk membolehkan mahasiswa memahami proses penghasilan seramik mengikut reka bentuk yang dipilih serta untuk mengelakkan atau mengurangkan masalah teknikal bentuk semasa menghasilkan reka bentuk produk atau karya akhir nanti. Pengalaman menghasilkan prototaip juga akan memberikan satu pengalaman teknikal bahan tanah liat yang perlu difahami oleh mahasiswa. Ini kerana tanah liat mempunyai sifat plastik yang unik dan perlukan fokus dan pemahaman kebolehannya oleh mahasiswa sebelum dapat menjayakan sesuatu bentuk. Kefahaman proses yang diperolehi melalui pengalaman mahasiswa menghasilkan model atau prototaip ini adalah amat penting membolehkan mereka dapat menghasilkan reka bentuk akhir yang berkualiti dan mengikut terjemahan daripada lukisan akhir yang dibuat. Kualiti reka bentuk produk atau karya akhir adalah berdasarkan beberapa faktor yang telah dicadangkan di dalam penyelidikan dan lukisan seperti saiz, warna, bentuk, fungsi, kesan permukaan, gerlis dan persembahan.
Contoh Karya Yang Telah Siap Dihasilkan oleh Mahasiswa
Proses karya ini membantu mendidik mahasiswa sentiasa berfikiran jauh dan peka untuk mendapatkan keputusan karya atau produk akhir yang lebih berkualiti tinggi dan berpotensi untuk dikomersilkan. Produk akhir yang didapati mencapai kualiti potensi pasaran seramik secara tidak langsung akan motivasikan mahasiswa menghasilkan karya dan produk berkualiti yang lebih tinggi di masa hadapan.
Proses penghasilan produk atau karya seramik memerlukan ruang masa yang agak lama dan boleh dinyatakan seperti berikut (kaedah projek studio):
1. Proses penyediaan bahan tanah liat; uli (teknik kepala kambing (ox head) atau teknik pusingan (spiral)
2. Proses proses pembuatan prototaip; teknik buatan tangan / lemparan alin.
3. Proses rawatan permukaan dan pengeringan.
4. Proses pembakaran; bisque
5. Proses menggerlis; penyediaan gerlis dan aplikasi
6. Proses pembakaran; gerlis
7. Proses persembahan akhir (display as its function)
Jenis-Jenis Produk Atau Karya Seramik
Mahasiswa di dalam program seramik ini bebas memilik jenis produk atau karya akan tetapi mereka perlu mengikut konsep atau tema yang diberikan oleh pensyarah. Produk atau karya seramik yang dipilih oleh mahasiswa adalah sebaiknya mengikut minat mereka dan disesuaikan dengan tema atau konsep yang diberi. Tujuan ini adalah untuk menggalakkan mereka fokus dengan proses penghasilan produk atau karya mereka. Jika menghasilkan sesuatu yang kurang minat akan menyebabkan mahasiswa cepat bosan dengan proses pembuatan dan mengakibatkan produk atau karya yang dihasilkan tidak capai kualiti yang memuaskan. Berdasarkan pengalaman saya, mahasiswa yang membuat reka bentuk berdasarkan minat mereka amat membantu menghasilkan karya mereka dan mencapai kualiti yang diperlukan berbanding mahasiswa yang memilih reka bentuk yang bukan minat mereka.
Sebagai contoh; ada mahasiswa memilih robot sebagai idea produk jar. Beliau menghasikan rekaan produk yang menggabungkan reka bentuk mekanikal robot berfungsi sebagai penutup. Idea kreatif beliau ini telah berjaya menghasilkan satu rekaan baru jar yang mempunyai fungsi seakan mekanikal robot (berdasarkan kajian fungsi robot). Ini bermakna, beliau menggabungkan idea robot dan jar untuk projek akhir. Beliau dilihat begitu bersemangat menyiapkan karya ini memandangkan beliau amat meminati robot.
Antara produk yang pernah dihasilkan oleh mahasiswa program seramik adalah seperti berikut:
1. Tableware; set makan malam, set teko, set sushi, set mangkuk sup dan sudu, set kole (mug), set pinggan.
2. Kitchenware; bekas penyimpanan sudu serta sudu, tempat penyimpanan span basuhan dan sabun pencuci, laddle, storage jar, tempat pemanggang (BBQ)
3. Giftware; decorative bowl, deco plate, trofi, vase
4. Perhiasan Rumah (Home Deco); oil burner, potpouri, candle holder, mini garden, terrarium, lantern, keys holder, wind chime.
5. Arca (sculpture); arca awam, arca berfungsi, panel dinding, figura
Mahasiswa Digalakkan Menyertai Pertandingan Reka Bentuk Produk Atau Pameran Seni. Mahasiswa Ini Telah Memenangi Hadiah Utama Pertandingan Cenderamata Tahun Melawat Negeri Perak 2019
Penutup
Program seni seramik ini dilihat semakin berkembang di Malaysia. Graduan daripada program ini mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk mereka menceburi bidang kerjaya berkaitan. Statistik daripada Kementerian Pengajian Tinggi tahun 2019, bidang seramik telah mencapai antara bidang yang mudah mendapat peluang pekerjaan. Ini membuktikan bahawa penambahbaikan kurikulum program yang dihasilkan mempunyai potensi membentuk graduan memiliki kepelbagaian kemahiran dari aspek penghasilan seramik studio dan industri, lukisan, lukisan komputer 3-D, soft skills, kreativiti, dan pengetahuan bahan seramik menjadikan mereka bersedia dan laku dipasaran pekerjaan. Antara potensi kerjaya di dalam bidang seramik ialah sebagai pereka, konsultan seni, pengarah seni, juruteknik makmal seramik, pengarca, guru seni, pensyarah, jurulatih seni, pelukis illustrasi, kurator, clay animator dan usahawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan