Jumaat, 22 Jun 2012

Peringkat Suhu Pembakaran Seramik

100 darjah selsuis   - Seluruh kandungan air akan menjadi wap.

200 darjah selsuis   - Air yang terdapat di dalam jasad produk mengering.

300 darjah selsuis   - Bahan organik menjadi karbon.

400 darjah selsuis   - Produk dipanaskan menjadi kehitaman (karbon).

500 darjah selsuis   - Produk dipanaskan menjadi sedikit kemerahan.

600 darjah selsuis   - TANAH LIAT BERTUKAR MENJADI SERAMIK.

700 darjah selsuis   - Proses perubahan bahan menjadi seramik terus berlaku.

800 darjah selsuis   - Proses Sintering (inter-crystallization) iaitu proses percantuman partikel bahan.

900 darjah selsuis   - Proses percantuman partikel terus berlaku.

1000 darjah selsuis - Kebanyakkan bahan carbonites berpisah.

1100 darjah selsuis - Perbentukkan bahan mullite dan cristobalite.

1200 darjah selsuis - Pencantuman menjadi kaca (vitrification) bagi kebanyakkan tanah berwarna merah.

1300 darjah selsuis - Pencantuman menjadi kaca bagi kebanyakkan jenis secondary clay seperti stoneware.

1400 darjah selsuis - Hard-paste porcelain menjadi kaca.


Rujukan:
1) Robert Fournier, Illustrated Dictionary of Practical Pottery, 4th Edition, London: Craftman House, 2000. 
2) Wikipedia, the free encyclopedia, "Sintering" http://en.wikipedia.org/wiki/Sintering (accessed June 22, 2012)
3) Wikipedia, the free encyclopedia, "Carbonite" http://en.wikipedia.org/wiki/Carbonite (accessed June 22, 2012)
4) Wikipedia, the free encyclopedia, "Mullite" http://en.wikipedia.org/wiki/Mullite (accessed June 22, 2012)
5) Wikipedia, the free encyclopedia, "Cristobalite" http://en.wikipedia.org/wiki/Cristobalite (accessed June 22, 2012)
6) Wikipedia, the free encyclopedia, "Vitrification" http://en.wikipedia.org/wiki/Vitrification (accessed June 22, 2012)
7) The Free Dictionary by Farlex, "secondary clay" http://encyclopedia2.thefreedictionary.com/secondary+clay (accessed June 22, 2012)
8) Wikipedia, the free encyclopedia, "Hard-paste Porcelain" http://en.wikipedia.org/wiki/Hard-paste_porcelain (accessed June 22, 2012)

Isnin, 4 Jun 2012

Rekabentuk Teko (Teapot)

Oleh: Mohd Khairi Baharom

Teko merupakan satu bekas berpenutup yang mempunyai pelbagai bentuk. Ianya digunakan sebagai bekas merebus dan sajian teh serta mempunyai satu bahagian bercorong (spout) dan bahagian pemegang (handle) yang berkedudukan bertentangan. Bahagian corong tradisinya dipasang (jika corong dan induk teko dibentuk secara berasingan) hampir dengan bahagian tapak yang bertujuan untuk memudahkan aliran air teh tanpa diganggu daun teh (tanpa uncang) yang terapung. Reka bentuk induk teko sebelum corong dipasang, dihasilkan lubang-lubang kecil sebagai penapis untuk mengelakkan daun teh keluar bersama aliran air.

Rekabentuk bahagian corong memerlukan ketelitian pereka supaya aras air teh dapat diisi di dalam induk mengikut kesesuaian aras. Kesesuaian rekabentuk corong adalah berdasarkan ketinggian aras mulut corong yang perlu melebihi induk untuk mengelakkan kekurangan pengisian isipadu air teh dan menjadikan rekaan teko ekonomikal. Manakala rekaan mulut corong pula perlu berbentuk condong (diagonal) supaya memudahkan aliran air keluar dari corong tanpa tumpahan yang tak diingini berlaku. Rekaan bahagian pemegang pula, pereka perlu meneliti rekabentuk corong sebelum menghasilkan pemegang. Rekaan teko terbaik perlu mempunyai keseimbangan antara rekabentuk pemegang dan corong supaya rekaan yang dihasilkan memiliki formal estetika rekabentuk teko yang kontemporari.

Bahagian penutup (lid) teko (atas induk) dihasilkan dengan rekaan berselak iaitu selak direka dibahagian bawah tapak penutup. Selak ini berfungsi untuk mengelakkan penutup tertanggal dari induk semasa tuangan teh. Rekaan selak penutup perlu diteliti supaya ianya selari dengan mulut induk agar selak yang dihasilkan dapat berfungsi dengan baik. Bahagian permukaan penutup ini kebiasaannya dihasilkan satu lubang kecil bertujuan untuk memudahkan aliran udara keluar masuk dari dalam dan luar induk. Ianya juga dapat mengelakkan ruang dalam induk daripada kedap udara supaya aliran air teh dapat berfungsi dengan baik tanpa sekatan.


  

Rabu, 30 Mei 2012

Tanah Liat Sebagai Medium Penghasilan Karya dan Produk Seramik

Oleh: Mohd Khairi Baharom

Tanah liat merupakan bahan asas dalam pembuatan seramik sejak zaman pra sejarah lagi. Bahan ini dihasilkan secara semulajadi hasil kegiatan alam seperti debuan daripada batuan dipindahkan jauh melalui angin atau juga melalui hasil pergerakan ais. Terdapat beberapa jenis tanah liat yang digunakan untuk penghasilan produk berdasarkan kualiti tertentu. Pengkarya atau pereka seramik perlu memahami kualiti sifat plastik tanah liat sebelum menghasilkan produk. Pengetahuan tentang tanah yang bersifat plastik, poros dan suhu pembakaran amat penting dalam memastikan kejayaan menghasilkan produk seramik.

Terdapat tiga jenis tanah liat yang utama iaitu jenis earthenware, stoneware dan porselin. Tanah ini dikenalpasti berdasarkan kekuatan dan kebolehan jasad ketika pembakaran. Sejarah membuktikan bahawa tanah jenis earthenware digunakan secara meluas sebagai produk berfungsi sejak zaman pra sejarah lagi. Tanah ini mempunyai kandungan kepelbagaian komposisi yang hanya sesuai untuk pembakaran pada suhu yang rendah. Ia tidak mampu bertahan pada suhu melebihi 1150 darjah selsuis kerana mempunyai bahan flux yang mampu memberikan kecacatan pada jasad jika melebihi suhu tersebut ketika proses vitrifakasi (perubahan menjadi kaca).

Tanah jenis stoneware mempunyai berlainan sifat daripada tanah earthenware. Tanah stoneware ini dihasilkan melalui perkembangan teknologi tanur masa dahulu iaitu berupaya melakukan proses pembakaran pada suhu yang tinggi. Tanah ini mempunyai sifat fizikal yang kuat serta bebas calar jika dibakar pada suhu melebihi 1200 darjah selsius. Komposisi tanah ini mempunyai campuran bahan tanah liat, mineral dan grog iaitu daya poros serapan air pada jasad amat rendah berbanding tanah jenis earthenware. Walaupun sifat tanah stoneware dan earthenware ini berbeza tetapi kedua-dua tanah ini dihasilkan oleh alam semulajadi.

Marco Polo memberikan terma porselin yang berasal daripada perkataan Itali iaitu 'porselino' bermaksud 'anak khinzir'. Nama ini diberi berdasarkan jasad porselin ini bersifat translusen seumpama kulit siput jenis 'cowrie' dan bentukkannya seperti anak khinzir atau porselino. Tanah ini dihasilkan pada kurun ke 10 ketika pemerintahan Maharaja Hou Zhou Shi Zong, China. Masyarakat awal Cina mempercayai bahawa porselin ini dihasilkan daripada tanah stoneware halus (fine stoneware) yang berupaya memberikan sifat translusen tersebut. Tanah poselin ini nyata berbeza daripada tanah yang terdahulu iaitu earthenware dan stoneware bukan hanya dari aspek translusen sahaja malah berupaya memberikan warna putih dan mempunyai lebih kekuatan jasad selepas melalui proses vitrifikasi pada suhu melebihi 1300 darjah selsius. Tanah porselin ini juga dikenali dengan nama lain iaitu 'hard-paste porcelain' dan 'soft-paste porcelain'

Bone china adalah salah satu tanah jenis porselin. Bahan bone china terdiri daripada bahagian porselin tetapi diubah dengan menggunakan bahan debu tulang (bone ash) yang telah melalui proses 'calcine'. Proses 'calcine' ini adalah proses pembakaran pada suhu 700 darjah selsius. Tanah jenis bone china ini dicipta oleh Josiah Spode di Britain pada akhir abad ke 18. Resepi bahan menghasilkan porselin diubah dengan menggunakan 50 peratus bahan debu tulang lembu. Debu tulang lembu ini berupaya menjadi agen flux di dalam jasad semasa proses vitrifikasi yang memberikan sifat putih dan translusen selepas pembakaran. Penciptaan tanah bone china ini membawa penjimatan kos bahan pembakaran dengan suhu pembakaran 'bisque' yang tinggi pada 1280 darjah selsius dan suhu pembakaran gerlis yang rendah iaitu pada 1080 darjah selsius. Walaubagaimanapun, tanah bone china ini hanya sesuai untuk penghasilan produk menggunakan teknik tuangan slip (slip casting) berbanding teknik lain oleh kerana sifat tanah ini yang mudah pecah ketika kering dan kurang sifat plastik.

Jasad bone china ini hampir seakan porselin tetapi bahan utama porselin ini ditukar dengan menggunakan abu tulang. Walaubagaimanapun, jasad bone china dan porselin mempunyai kesamaan dari aspek kekuatan jasad dan bersifat tranlusen ketika nipis. Sebelum penciptaan bone china ini, beberapa siri eksperimentasi telah dijalankan menggunakan beberapa bahan seperti debu kaca, pasir dan kulit siput tetapi bahan-bahan ini tidak berupaya memberikan kesempurnaan pada jasad produk sehingga penemuan abu tulang lembu yang mampu memberikan kelengkapan sifat bagi produk seramik. Eksperimentasi ini yang dijalankan adalah untuk mencari bahan yang setara dengan produk porselin serta murah daripada negara China kerana produk dan bahan porselin yang diimport dari negara tersebut mahal.

Dokomentasi sejarah seramik telah mencatatkan bahawa produk bone china pada asalnya dihasilkan oleh orang Inggeris di Britain yang menggunakan tulang lembu yang dikisar menjadi abu. Produk bone china telah menjadi satu isu kepada masyarakat Islam tentang bahan yang digunakan seperti yang nyatakan oleh beberapa pihak iaitu penggunaan tulang babi. Mungkin bahan yang digunakan oleh industri kini telah mengenalpasti bahawa tulang babi mungkin sesuai untuk menghasilkan produk seramik. Tetapi maklumat ini tiada dokumentasi yang wujud dapat diperolehi untuk dirujuk. Cuma sejarah membuktikan bahawa hanya tulang lembu yang sesuai untuk tujuan ini berdasarkan eksperimentasi bahan yang telah dijalankan.

Pada 7 Mei 2012, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengumumkan bahawa produk bone china adalah haram sama sekali digunakan oleh umat Islam di Malaysia. Produk bone china ini walaupun menggunakan bahan dari abu tulang lembu (bovine bone ash), ianya tetap diharamkan jika ianya tidak disembelih. Kenyataan ini telah memberikan tamparan hebat kepada peminat pengumpul set 'tableware' ekslusif bone china ini.

Pada masa kini, pasaran produk seramik dilihat wujudnya satu lagi jenis produk 'tableware' iaitu produk fine china. Produk ini sebenarnya tiada dokumentasi secara formal. Berkemungkinan ianya dibentuk oleh pihak industri dan memperlihatkan kualiti seakan bone china. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, produk ini juga adalah bahan formula porcelain cuma formula fine china ini ditambahkan beberapa peratus bone ash di dalam formula jasad dan gerlis untuk mendapatkan sedikit persamaan dengan produk bone china. Melalui informasi ini dapat dikatakan bahawa produk fine china ini tidak banyak bezanya dengan kualiti produk porcelain. Kenyataannya bahawa, produk fine china ini hanyalah satu ciptaan bertujuan mempelbagaikan pengkomersilan produk industri ekslusif dipasaran.



Rujukan:
1) Glen C Nelson, Ceramic, A Potter's Handbook 2nd Edition (New York: Holt, Rine Hart and Winston, 1966)
2) Frank and Janet Hamer, The Potter's Dictionary of Materials and Techniques (London: A & C Black, 1997)
3) Steve Mattison, The Complete Potter (london: Apple Press, 2003)
4) Anne Lightwood, Working With Paperclay and Other Additives (Marlborough: The Crowood Press Ltd, 2000)
5) Hugo and Marjorie Munsterberg, World Ceramic, From Prehistoric to Modern Times (Canada: Penguin Books Ltd, 1998)
6) Emmanuel Cooper, A History of World Pottery (Pennsylvania: Chilton Trade Book, 1988)
7)Tableking.com.au, "It is Fine China or Porcelain," http://support.tableking.com.au/article.aspx?cid=6213&aid=11888