Khamis, 3 Jun 2010

Sejarah Perkembangan dan Pengaruh Seramik Terawal Dunia

Oleh: Mohd Khairi Baharom
Perkataan seramik adalah berasal daripada perkataan Greek iaitu Keramos bermaksud tanah liat yang digunakan untuk pembuatan produk. Perkataan ini juga membawa maksud yang serupa dengan perkataan tembikar tetapi terma seramik lebih menggambarkan segalanya yang berkaitan dengan bahan tanah liat berbanding tembikar. Produk tanah liat akan bertukar menjadi seramik apabila didedahkan pada suhu yang tinggi melebihi 600 darjah selsuis. Seramik merupakan salah satu objek seni yang tertua sekali pernah dihasilkan oleh manusia sejak zaman pra sejarah lagi. Bentukan seramik yang terawal dijumpai oleh ahli arkeologi kebanyakkannya adalah berbentuk figura. Para pakar mempercayai bahawa figura-figura ini pada masa dahulu digunakan bertujuan sebagai objek kepercayaan terhadap kesuburan dan digunakan semasa upacara-upacara tertentu. Produk seramik yang tertua di dunia dijumpai oleh ahli arkeologi adalah produk zaman Jomon, Jepun iaitu bertarikh 10,000 Sebelum Masihi.
Masyarakat terawal telah mengalami perubahan di dalam kehidupan seharian dan mula menggunakan tanah liat sebagai bahan untuk menghasilkan bekas makanan dan cecair. Terdapat 3 teori yang telah dinyatakan oleh Emmanuel Cooper (1988) tentang wujudnya produk seramik terawal manusia; a) teori pendiang; oleh kerana sumber api merupakan yang terpenting untuk kehidupan masyarakat zaman dahulu dan dipercayai bahawa kawasan pendiang mereka telah dihasilkan lubang untuk ditempatkan sumber api. Hasil ciptaan lubang ini menyebabkan tanah pendiang (tanah liat) tersebut menjadi keras seakan produk seramik akibat pendedahan terhadap api pendiang. b) Teori bakul; masyarakat terdahulu menggunakan bakul yang diperbuat daripada bahan tumbuhan. Untuk memastikan bakul ini kalis air, msyarakat terdahulu menggunakan tanah liat basah (cecair) dan dilumurkan pada permukaan bakul tersebut. Selepas ianya kering sepenuhnya, mereka meletakkannya ke dalam api dan akhirnya bahan tumbuhan yang digunakan untuk menghasilkan bakul tadi terbakar menyebabkan yang tinggal hanya bahan tanah liat berbentuk produk bakul seramik. c) Teori figura; kepercayaan masyarakat dahulu terhadap figura-figura seramik yang melibatkan upacara tertentu berkemungkinan menggunakan bersama unggun api. Berkemungkinan figura-figura yang diperbuat daripada tanah liat ini dimasukkan ke dalam api sebagai salah satu acara upacara ini menyebabkan secara tidak langsung perubahan vitrifikasi (perubahan menjadi kaca) terhadap jasad figura seramik berlaku. Pengalaman masyarakat melihat perubahan jasad ini berlaku menyebabkan mereka menggunakan bahan tanah liat sebagai medium untuk menghasilkan produk seramik untuk kegunaan harian mereka. Walau bagaimanapun, teori daripada Cooper (2000) lagi menyatakan bahawa masyarakat terawal merupakan masyarakat yang masih mengamalkan berpindah-randah dari satu tempat ketempat yang lain dalam satu jangka masa mungkin menyebabkan produk seramik tidak diamalkan sebagai peralatan harian. Apabila masyarakat ini telah menetap di sesuatu tempat tertentu serta kekal hingga beranak-pinak serta menjadikan pertanian sebagai satu cara hidup menyebabkan mereka mula menghasilkan produk harian yang berupaya menyimpan makanan serta cecair.
Penemuan ini mungkin menjelaskan tentang kemungkinan masyarakat menemui atau menghasilkan produk seramik yang terawal. Pada masa tersebut mereka mula menghasilkan produk yang berfungsi atau untuk kegunaan harian daripada bahan tanah liat. Kebanyakannya adalah berbentuk bekas simpanan makanan dan minuman serta bekas untuk tujuan keagamaan. Seramik pada masa ini dipercayai dibakar menggunakan kaedah pembakaran api secara terbuka (bonfire) dan kaedah pembakaran di dalam lubang tanah (pit fire). Pada masa ini tanur pembakaran belum lagi dicipta dan dipercayai produk seramik ini dibakar pada suhu antara 600 hingga 700 darjah selsuis. Penemuan penting ini telah membuktikan bahawa bermulanya salah satu perkembangan seni dan kraf manusia pada zaman dahulu.
Berdasarkan kenyataan ahli arkeologi, tamadun manusia yang terawal juga ditemui menghasilkan produk seramik selain daripada zaman Jomon iaitu di Anatolia, Syria dan di beberapa kawasan kecil Asia sekitar tahun 6000 Sebelum Masihi. Penemuan ini adalah menemukan rekabentuk produk seramik yang paling mudah pada abad tersebut. Masyarakat pada masa ini menghasilkan produk seramik menggunakan teknik lingkaran dan picitan (hasilakn permukaan rata). Kebanyakkan rekabentuk produk terawal adalah jenis bundar atau bulat walaupun mesin lemparan alin belum diciptakan lagi dan selepas itu bentukan lain pula dihasilkan seperti segi empat tepat dan bujur. Bentuk Jar dan mangkuk berbentuk bulat adalah yang terkenal pada zaman terawal ini dan didekorasikan dengan catan warna merah dan hitam. Rekabentuk produk seramik dan bahan mula berkembang semasa tamadun Mesopotamia dan Mesir sekitar tahun 5000 Sebelum Masihi. Pada zaman ini, masyarakat mula menyediakan tanah liat dengan lebih berhati-hati. Dekorasi seramik diperbaharui dengan catan yang dituris. Pada zaman tersebut juga berlakunya perkembangan terhadap ciptaan mesin lemparan alin, tanur dan kaedah pembakaran di dalam tamadun-tamadun lain. Perkembangan seramik di Persia mula berlaku sekitar tahun 4000 Sebelum Masihi.
Tamadun Mesopotamia mempunyai tiga zaman yang menunjukkan perkembangan seramik berlaku iaitu yang pertama adalah zaman Hassuna (5000-4500 SM) iaitu masyarakat pada zaman ini menghasilkan rekabentuk seramik paling mudah dengan dekorasi berunsurkan alam sekeliling. Zaman kedua adalah Halaf (4500-4000 SM) yang telah menunjukkan peningkatan terhadap produk seramik melalui perkembangan yang berlaku terhadap teknologi tanur pembakaran serta penemuan ciptaan gerlis dan kaca. Zaman Ubaid (4000-3500 SM) adalah yang terakhir dengan berlakunya perkembangan terhadap teknologi penyediaan tanah liat, mesin lemparan alin dan tanur pembakaran. Pada zaman ini juga dekorasi produk seramik makin bertambah baik.
Sebelum kaedah bahan kalis air seperti bahan gerlis ditemui, masyarakat pada zaman dahulu mempunyai cara yang tersendiri menghasilkan produk seramik yang mempunyai kebolehan sebagai bekas simpanan cecair. Terdapat dua kaedah utama yang sering digunakan iaitu; a) menggunakan batu sungai yang licin digosok pada permukaan produk seramik iaitu jasad produk dalam keadaan hampir kering. Kaedah ini mampu menghasilkan produk seramik kurang poros serta menjadi berkilat selepas proses pembakaran. Kaedah kedua adalah menggunakan tanah liat halus yang dicairkan dijadikan sebagai slip (tanah liat keadaan cecair yang likat) dengan melitupi permukaan seramik. Kaedah ini berupaya menghasilkan permukaan seramik menjadi berkilat dan juga sebagai dekorasi produk.
Apa yang menakjubkan, ahli arkeologi menjumpai produk seramik daripada zaman tamadun Lembah Indus iaitu masyarakatnya juga menghasilkan produk seramik untuk sekali pakai bertujuan perniagaan minuman pada zaman tersebut. Satu longgokkan produk seramik yang pecah dijumpai disekitar kawasan dipercayai ruang perniagaan minuman zaman tersebut. Kesemua produk ini mempunyai rekabentuk yang mudah seakan untuk disiapkan secara cepat oleh pereka pada zaman ini.
Perkembangan dan pengaruh seramik telah banyak berlaku pada masa dahulu. Mesopotamia merupakan tamadun yang mempunyai pengaruh seramik yang kuat terhadap tamadun lain yang wujud di sekitarnya pada zaman itu. Elemen budaya dan kepercayaan juga mempengaruhi rekabentuk dan dekorasi produk seramik tamadun manusia. Perkembangan terhadap dunia seramik ini berterusan dan membuktikan bahawa manusia sememangnya dilahirkan dengan sikap ingin tahu dan berusaha untuk memuaskan hati mereka tanpa jemu.
Rujukan:
1) Frank Hamer & Janet Hamer, The Potter's Dictionary of Materials and Techniques (London: A&C Black 1997)
2) Emmanuel Cooper, A History of World Pottery (Pennsylvania: Chilton Trade Book, 1988)
3) Emmanuel Cooper, Ten Thousand Years of Pottery (Pennsylvania: University of Pennsylvania Press, 2000)
4) Hugo & Marjorie Munsterbag, World Ceramics, From Prehistoric to Modern Times (New York: Penguin Books Ltd, 1998)
5) St John Simpson et al, Pottery in The Making, World Ceramic Tradition (London: British Museum, 1997)

3 ulasan:

Jerin berkata...

informatif. t.kasih tn.

Unknown berkata...

Macam mana nak rujuk kalau kita terjumpa satu serpihan seramik yg kita rasa bukan di zaman kita punya berdasarkan corak pd serpihan artifak yg dijumpai

Mohd Khairi Baharom. PhD. berkata...

Agak sukar ditentukan zaman melalui satu serpihan seramik. Sesuatu produk seramik perlukan kumpulan serpihan lengkap sesuatu produk untuk tentukan zaman dan asal artifak berkenaan melalui kesan corak atau tanda pengeluar/pengkarya. Perlu rujukan selanjutnya dari pakar arkeologi untuk dptkan pengesahan zaman. Boleh rujuk laman ini untuk maklumat lanjut:
https://www.drloriv.com/Tips/ID/4269/Determine-Age-of-Pottery