Sebenarnya ramai yang tidak mengetahui bahawa karya seni ini boleh didaftarkan di bawah perlindungan harta intelek. Ungkapan paten, hakcipta, cap dagangan dan lain-lain telah lama disebut. Tetapi apakah sebenarnya harta intelek ini? Bagaimana nak dapatkan kelulusan semua harta intelek ini? Atau bagaimana karya seni ini boleh didaftarkan sebagai harta intelek?
Perkara ini merupakan salah satu perkara pokok di dalam kebajikan sebagai pengkarya seni. Kita tidak pernah didedahkan tentang ini. Macam-macam spekulasi atau 'fatwa' diberikan pendapat tapi tak pernah menampakkan jalan. Kita yang tahu pun bila disebut paten terus terfikir SIRIM. Sebenarnya, harta intelek merupakan satu bentuk perlindungan terhadap pereka atau pengkarya. Terdapat pelbagai jenis harta intelek berdasarkan fungsi dan kriteria yang membolehkan sesuatu produk atau karya sebelum ia didaftarkan atau dilindungi. Paten merupakan salah satu jenis harta intelek.
Mungkin ramai individu yang menganggap karya seni ini sesuatu yang mustahil dilindungi berdasarkan karya yang dihasilkan. Kepelbagaian teknik dan proses penghasilan dirasai terlalu rumit diguna oleh individu, kumpulan atau organisasi lain. 'Zaman dah berubah...' amat benarlah kata-kata ini yang dipetik daripada petikan iklan di televisyen. Zaman sains dan teknologi mampu menzahirkan segalanya. Walaupun sebegitu rumit teknik datau proses penghasilan karya atau hanya individu pengkarya tertentu sahaja yang mampu menghasilkan karyanya, ia tetap boleh dilindungi sebagai harta intelek.
Persoalan lain seperti perbelanjaan yang tinggi untuk mendapatkan perlindungan harta intelek juga menjadi satu persoalan. Benarkah kosnya yang tinggi? Sebenarnya, kos untuk mendapatkan perlindungan ini tidakpun sampai RM2,000. Jumlah kos ini sebenarnya jika pendaftarannya dilakukan oleh individu yang berkenaan. Tetapi untuk karya seni sebenarnya tidak dikenakan sebarang caj penyediaan dokumen. Saya akan dedahkan dibawah ini bagaimana proses untuk mendapatkan perlindungan harta intelek ini.
Bagaimana pula persoalan dengan organisasi yang menguruskan segala pendaftaran dan perlindungan harta intelek ini. Benarkah SIRIM adalah organisasi yang bertanggungjawab melindungi harta intelek hasil inovasi dan karya seni? Pihak SIRIM merupakan salah satu agen yang dilantik untuk membantu pereka dalam permohonan mendapatkan perlindungan harta intelek ini. Tetapi organisasi yang sebenarnya adalah pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang memainkan peranan dalam menguruskan perihal harta intelek ini.
Seperti yang saya katakan tadi, harta intelek ini bukan hanya paten tetapi mempunyai beberapa jenis seperti Cap Dagangan (Trade Mark), Paten (Patent), Hakcipta (Copyright), Pengetahuan Tradisi (Traditional Knowledge), Petunjuk Geografi (Geographical Indications), Reka Bentuk Susun Atur Bersepadu (Layout-Designs of Intergrated Circuits), Penyataan Kebudayaan Tradisional (Traditional Cultural Expressions) dan Reka Bentuk Industri (Industrial Designs) (petikan daripada laman web MyIPO)
Di sini saya hanya ingin menguraikan jenis harta intelek yang boleh digunakan untuk bidang seni estetik sahaja. Berdasarkan senarai yang diberikan cuba anda teka, yang manakah boleh digunakan untuk kategori karya seni jenis estetik? jawapannya adalah harta intelek jenis Hakcipta (Copyright).
Berdasarkan perbincangan saya dengan wakil MyIPO di dalam pameran rekacipta PECIPTA 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam, barulah saya fahami bahawa bagi artis atau pengkarya seni tidak kira samada bidang seni arca, seni catan, seni seramik, kraftangan, karya sastera (contohnya puisi), karya muzik, filem, siaran (broadcasts), rakaman bunyi atau karya terbitan (buku atau apa-apa dokumentasi secara diterbitkan) boleh diletakkan dibawah kategori hakcipta ini. Menurut wakil MyIPO ini, pengiktirafan kategori ini tidak perlu didaftarkan seperti harta intelek kategori lain. Pengkarya seni hanya perlu menyediakan beberapa keperluan yang membuktikan karya seni yang dihasilkan adalah milik pengkarya berkenaan.
Untuk mendapatkan perlindungan berdasarkan kategori hakcipta ini, pengkarya diperlukan mendokumentasikan segala hasil karya seni mereka dalam bentuk penulisan. Di sini saya simpulkan bahawa keperluan dokumentasi ini berkemungkinan seperti berikut:
1) Tajuk karya
2) Objektif Karya
3) Keterangan Karya (Bentuk, Isi dan Makna)
4) Ciri-Ciri Karya (saiz dan tarikh ia disiapkan)
5) Gambar Karya (pelbagai sudut pandangan dan lukisan teknikal jika ada)
6) Butiran penting pengkarya (senaraikan jika lebih dari seorang)
Karya yang telah didokumentasikan ini perlu diperakukan oleh mana-mana pesuruhjaya sumpah untuk mendapatkan pengesahan tarikh karya dan butiran dokumentasi karya berkenaan. Tiada borang yang perlu diisi untuk pendaftarannya. Kemudian pengkarya perlu menyimpan dokumen yang disediakan dengan melakukan penghantaran secara pos berdaftar ke alamat sendiri untuk memastikan tarikh penghantaran itu adalah sama dengan tarikh pengesahan pesuruhjaya sumpah untuk tujuan pengesahan dokumen tersebut dan pastikan surat atau dokumen yang diterima disimpan dengan selamat dan jangan dibuka sehingga diperlukan untuk tuntutan perlindungan pada masa hadapan. Untuk tujuan tuntutan, dokumen ini akan dibuka oleh pihak berkuasa sebagai bukti hakcipta terpelihara adalah milik anda.
Berdasarkan keperluan perlindungan oleh MyIPO, karya seni ini dilindungi tanpa mengira kualiti dan tujuan karya yang dihasilkan tetapi mestilah menepati bentuk yang dizahirkan. Ia bukannya dalam bentuk idea, prosedur, kaedah operasi atau konsep matematik. Cara perlindungan yang diberikan oleh MyIPO ini adalah secara Afidavit, Akuan Bersumpah dan Peti Simpanan Keselamatan Bank.
Berdasarkan MyIPO, pengkarya mempunyai hak dalam mengawal selia perkara-perkara berikut:
1. Penghasilan semula karya dalam apa jua bentuk termasuk fotokopi, rekod semula dan sebagainya.
2. Melakukan persembahan, permainan atau pameran kepada masyarakat umum
3. Komunikasi umum
4. Pengedaran salinan kepada umum melalui penjualan atau pindahmilik
5. Sewaan secara komersil kepada umum
Berdasarkan pernyataan MyIPO:
'Hakcipta adalah hak eksklusif yang diberikan kepada pemilik karya berhakcipta dan tempoh perlindungan bergantung kepada jenis karya tersebut, samada sepanjang hayat pemilik ditambah 50 tahun selepas kematian atau 50 tahun selepas karya dibuat atau diterbitkan. Perlindungan adalah secara automatik sebaik sahaja memenuhi syarat-syarat yang diperuntukkan di bawah Akta Hakcipta 1987.' (Poster MyIPO)
Semoga artikel ini dapat membantu para pengkarya tanah air untuk mendapatkan hak mereka dengan betul. Saya bukanlah agen MyIPO, tetapi ingin berkongsi pengetahuan harta intelek yang telah lama menjadi persoalan dalam diri pengkarya. Apa yang saya fahami tentang hakcipta ini bahawasanya karya kita walaupun dijual lebih molek dipastikan ada perjanjian jualbeli untuk tujuan jika diperlukan apa-apa tuntutan hak anda sebagai pengkarya seni berkenaan. Mengikut keterangan pihak MyIPO, imej karya jika diterbitkan dalam bentuk promosi umum oleh sesiapa pun mahupun pembeli, perlu memaklumkan atau mendapatkan kebenaran pengkaryanya. Jika ada organisasi atau individu yang tidak mengikut saluran yang tepat ini bolehlah diambil tindakan yang sewajarnya.
Perlindungan hakcipta ini masih lagi belum berkembang di negara kita. Semoga diharapkan pengkarya seni tanahair agar dapat menghasilkan karya bersama-sama dengan dokumentasi karya untuk tujuan perlindungan harta intelek jenis hakcipta ini. Semoga pengkarya kita mendapat pembelaan sewajarnya. Jika anda mahukan maklumat lanjut tentang perkara ini, hubungilah pihak MyIPO.
Majulah Seni Untuk Negara!!
6 ulasan:
thanks for the info..skrg baru saya faham macam mana nak patenkan sesuatu hasil kerja supaya ia tidak diciplak oleh pihak lain. saya ingatkan SIRIM yg handle rupanye ade lg organisasi lain. oh lupe nak introduce sy adalah ex student ceramic 2005 and now degree in graphic.sy harap semua lecturer yg knal saya sihat2 belaka..adios
Tq for the comment. Semua pensyarah masih segar bugar... Ramai yang tak tahu info paten nie... tq
thanks utk info2 ni en khairi. sy ex student seramik thn lps, farhana. sy berniat utk membuat perniagaan seni scra online. scra x lgsg info2 en td bnyk m'bantu krna sy n kwn2 ingin mempatenkan dahulu karya2 terdahulu. if en ada ape2 info lg, hrp en x keberatan utk berkongsi b'sm kami... hrp en . sume lecturer seramik uitm prk sht2 sentiasa......... :)
boleh x saudari bg idea kt sy produk ape yg ptot sy buat,sy memilih pisang sbgai subject matter...sy bdk industri...
Pinat Ina, jika hendak melakukan pemilihan idea produk berdasarkan 'subject matter' sebenarnya seperti melakukan perjalanan ke sesuatu tempat jauh tanpa kenderaan.. seeloknya ina elok memikirkan produk apa yang hendak dihasilkan terdahulu dan barulah mengolah subject matter ke atas produk tadi. Cara ini lebih senang. Cuba selidik produk yang berpotensi untuk dijadikan idea seperti produk keperluan terkini, produk popular atau terdapatnya produk yg boleh dilakukan penambah baikan... semoga berjaya
Kalau nak pattern kan mesin pengupas kelapa pun sana ka?
Catat Ulasan