Isnin, 4 Jun 2012

Rekabentuk Teko (Teapot)

Oleh: Mohd Khairi Baharom

Teko merupakan satu bekas berpenutup yang mempunyai pelbagai bentuk. Ianya digunakan sebagai bekas merebus dan sajian teh serta mempunyai satu bahagian bercorong (spout) dan bahagian pemegang (handle) yang berkedudukan bertentangan. Bahagian corong tradisinya dipasang (jika corong dan induk teko dibentuk secara berasingan) hampir dengan bahagian tapak yang bertujuan untuk memudahkan aliran air teh tanpa diganggu daun teh (tanpa uncang) yang terapung. Reka bentuk induk teko sebelum corong dipasang, dihasilkan lubang-lubang kecil sebagai penapis untuk mengelakkan daun teh keluar bersama aliran air.

Rekabentuk bahagian corong memerlukan ketelitian pereka supaya aras air teh dapat diisi di dalam induk mengikut kesesuaian aras. Kesesuaian rekabentuk corong adalah berdasarkan ketinggian aras mulut corong yang perlu melebihi induk untuk mengelakkan kekurangan pengisian isipadu air teh dan menjadikan rekaan teko ekonomikal. Manakala rekaan mulut corong pula perlu berbentuk condong (diagonal) supaya memudahkan aliran air keluar dari corong tanpa tumpahan yang tak diingini berlaku. Rekaan bahagian pemegang pula, pereka perlu meneliti rekabentuk corong sebelum menghasilkan pemegang. Rekaan teko terbaik perlu mempunyai keseimbangan antara rekabentuk pemegang dan corong supaya rekaan yang dihasilkan memiliki formal estetika rekabentuk teko yang kontemporari.

Bahagian penutup (lid) teko (atas induk) dihasilkan dengan rekaan berselak iaitu selak direka dibahagian bawah tapak penutup. Selak ini berfungsi untuk mengelakkan penutup tertanggal dari induk semasa tuangan teh. Rekaan selak penutup perlu diteliti supaya ianya selari dengan mulut induk agar selak yang dihasilkan dapat berfungsi dengan baik. Bahagian permukaan penutup ini kebiasaannya dihasilkan satu lubang kecil bertujuan untuk memudahkan aliran udara keluar masuk dari dalam dan luar induk. Ianya juga dapat mengelakkan ruang dalam induk daripada kedap udara supaya aliran air teh dapat berfungsi dengan baik tanpa sekatan.


  

Tiada ulasan: