Khamis, 3 Jun 2010
Sejarah Perkembangan dan Pengaruh Seramik Terawal Dunia
Selasa, 16 Mac 2010
CATATAN PENGALAMAN DIRI: REKA CIPTA DAN INOVASI SEPANJANG TAHUN 2006-2009
Catatan perjalanan ini mungkin sebagai satu ruang untuk memberikan panduan atau dorongan kepada sesiapa yang membaca artikel ini. Saya merasakan bahawa catatan ini perlu dikongsi semua terutama kepada mereka yang masih berjuang di dalam inovasi atau pelajar seni lukis dan seni reka.
Untuk pengetahuan semua, inovasi bagi diri saya pada awal tahun 2005 merupakan satu perkara yang amat tinggi serta melibatkan keseluruhan pengetahuan terhadap sains dan teknologi yang tiada kena mengena dengan seni lukis dan seni reka. Anggapan ini mungkin menjadi satu penghalang atau sikap yang tiada kemahuan untuk mengetahui atau mencuba nasib melibatkan diri sebagai penggiat seni seramik di dalam bidang inovasi ini.
Siapa sangka pada tahun 2006 telah merubah anggapan ini bukan sahaja pada diri malah seluruh warga UiTM Perak. Tahun 2006 ini juga bermulalah keinginan saya untuk terus menceburkan diri dalam bidang inovasi ini. Pada tahun 2006, rakan sekerja (Khairul Nizan Mohd Aris) dan Pengarah Kampus UiTM Perak (Prof. Dr. Abdullah Mohamad Said) telah memberikan galakkan untuk menyertai pertandingan ini. Bermulalah episod penyertaan inovasi melalui karya Muezzin Series iaitu karya arca seramik yang berinspirasikan daripada senibina Islam (menara masjid). Penyertaan inovasi saya ini adalah yang pertama kalinya di dalam pertandingan 'Invention Innovation Design 2006' (IID 2006) UiTM Shah Alam Selangor. Pertandingan ini disertai lebih kurang 70 buah produk inovasi daripada serata UiTM di Malaysia. Pertandingan ini buat pertama kali juga bagi saya dan UiTM Perak memenangi pingat perak.
Tahun 2006 merupakan sebagai satu batu loncatan terhadap bidang inovasi. Selepas IID 2006, karya 'Muezzin Series' ini telah terpilih ke pertandingan seterusnya iaitu 18th International Invention Innovation Technology Exhibition (ITEX) 2006 di Kuala Lumpur Convention Centre. Pertandingan ini agak lebih sukar berbanding dengan IID memandangkan para hakim yang terdiri daripada pihak industri. Keperluan yang dinyatakan oleh para hakim ini lebih fokus kepada kemampuan karya ini dalam penghasilan secara industri. Tambahan pula penyertaan ini dilihat dari sudut harta intelek (paten). Walaupun serba kekurangan dan tiada pingat yang berjaya diperolehi di pertandingan ini dan sebenarnya karya 'Muezzin Series' ini juga bukannya untuk dikomersilkan secara 'mass-production' serta lebih kepada bentukan astetika tetapi penyertaan di peringkat ini telah membuka mata dan minda kami tentang apakah produk inovasi yang telah dihasilkan di Malaysia serta keperluan industri pada masa kini.
Selepas itu karya 'Muezzin Series' ini juga menyertai beberapa pameran di dalam negara seperti Pameran Islam Sempena Tilawah Al-Quran Peringat Antarabangsa di PWTC Kuala Lumpur, Pameran Terbuka Pulau Pinang, Pameran KAMI (Staf UiTM Perak), Pameran Terbuka Malaysia dan Pameran Terbuka Shah Alam.
Pada Tahun 2007, Pertandingan IID 2007 akan bermula kembali. Saya telah mengajak beberapa orang staf FSSR UiTM Perak untuk turut serta. Tetapi ramai yang menolak disebabkan kesibukan dan tiada karya atau projek inovasi yang boleh dipertandingkan. Pada tahun ini saya dan 3 orang rakan (secara berkumpulan) iaitu; Inatul Salmy Ibrahim, Khairul Nizan Mohd Aris dan Zahirah Harun mencuba nasib dengan dua projek inovasi iaitu 'Ceramic Forming Using Waste Materials' dan 'Seni Rumah Kutai: Inspirasi Di Dalam Karya Seramik'. Dan seorang lagi pensyarah yang berjaya saya ajak untuk turut serta ialah Nur Hisham Ibrahim dengan projek inovasinya; 'Kempen Sebatang Rokok Satu Nyawa'. Penyertaan kali ini kami berjaya membawa pulang satu pingat Perak dan dua pingat Gangsa. Projek ini juga berjaya terpilih ke pertandingan ITEX 2007. Di pertandingan ITEX ini kami masih juga belum berjaya membawa balik sebarang pingat.
Kemudiaannya projek kedua iaitu 'Ceramic Forming Using Waste Material' telah terpilih pula ke peringkat kebangsaan iaitu di pertandingan Malaysia Technology Expo 2007 di PWTC Kuala Lumpur dan International Exposition of Research and Invention of Institutions of Higher Learning (PECIPTA) 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Pada peringkat ini beberapa peningkatan terhadap produk telah dilakukan untuk memenuhi kehendak pertandingan. Pertandingan ini agak sengit dan anugerah yang disediakan oleh penganjur agak terhad. Pertandingan ini masih menjadi ukuran produk kami untuk pertama kalinya. UiTM kali ini agak kurang bernasib baik untuk memungut pingat dan kebanyakkan produk yang pernah bertanding dan berjaya di peringkat antarabangsa juga tidak berjaya membawa pulang apa-apa anugerah dipertandingan ini. Pertandingan ini juga menjadi satu persoalan terhadap kriteria pemarkahan dan penilaian hakim. Peristiwa ini tidak menjadi satu penghalang kepada UiTM untuk terus menghantar penyelidik pergi bertanding. Malah setiap tahun sehingga sekarang telah menunjukkan peningkatan penyertaan penyelidikan inovasi yang tinggi daripada UiTM.
Tahun 2008 bermulanya penyertaan yang terbanyak daripada Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Perak serta iaitu dengan jumlah penyertaan sebanyak 7 penyelidikan inovasi. Saya sendiri menghantar 2 penyertaan produk inovasi iaitu Soft Pastel using Natural Substance (Local Mineral) designed for Ceramic Underglaze Decoration dan Ceramic Installation Flower Pot. Melalui pertandingan IID 2008 ini Alhamdulillah buat pertama kali kumpulan kami iaitu saya, Nur Hisham, Eilidh Isphahani dan Mohd Shahrol Hanafi mendapat pingat emas dengan projek inovasi 'soft pastel' dan pingat perak dengan projek 'flower pot' tersebut. Kemudiannya projek 'soft pastel' ini terpilih ke peringkat seterusnya iaitu ITEX 2008 dan memenangi pingat gangsa, Alhamdulillah. Bermula detik ini juga projek inovasi 'soft pastel' berjaya didaftarkan untuk perlindungan harta intelek (paten).
Walaupun produk inovasi 'soft pastel' ini hanya tamat di ITEX 2009, semangat kami terus membara untuk terus menghasilkan projek seterusnya. 'Soft pastel' ini menjadi satu platform dan panduan untuk menghasilkan projek seumpama dimasa hadapan.
Bermula tahun 2008 juga, saya mula mengorak langkah untuk mencuba projek pelajar Diploma Seni Reka Seramik dihantar bertanding ke pertandingan IID 2009. Persiapan serta panduan diberikan kepada pelajar. Pengenalan kepada inovasi telah dijadikan sebagai asas projek pelajar tahun akhir. Saya telah memperkenalkan projek inovasi kepada pelajar tahun akhir dan dibantu oleh rakan-rakan pensyarah yang lain. Detik pengenalan ini juga merubah persepsi pelajar tentang produk seramik dan juga memberikan kesan kepada pensyarah di jabatan seramik.
Pada peringkat awal saya memperkenalkan projek ini, ada juga rakan pensyarah merasakan ianya nampak 'berat' bagi pelajar peringkat diploma. Saya cuba memberikan satu kelainan dengan mengurangkan beberapa pemberat kursus agar projek yang dijalankan oleh pelajar diploma ini seiring dengan keperluan silibus kursus. Mungkin perubahan projek ini menjadi sesuatu yang baru dan belum pernah dilakukan sebelum ini. Melalui pengalaman saya melibatkan diri di dalam beberapa pertandingan inovasi daripada tahun 2006 hingga 2008 serta mendapat maklumbalas daripada pengunjung serta pandangan professional terhadap bidang seramik ini, saya mula merasakan perlunya ada beberapa penambahbaikan di dalam struktur kursus dan projek pelajar. Penambahbaikan ini dapat memberikan manfaat kepada pelajar serta projek mereka mampu berdaya saing diperingkat industri walaupun diperingkat diploma.
Inovasi dan seramik merupakan satu perhubungan yang perlu berlaku memandangkan pada masa kini amat sedikit jumlah yang boleh kita lihat produk inovasi yang dilakukan. Mungkin di dalam dunia teknologi seramik termaju mempunyai pelbagai bentuk inovasi terbaru tetapi bagi rekabentuk produk seramik consumer seperti 'kitchenware', 'tableware', 'sanitaryware' dan 'giftware' tidak melalui proses evolusi yang melibatkan inovasi secara total. Bagi saya sebagai satu-satunya universiti di Malaysia yang menghasilkan graduan universiti dalam bidang seramik sejak dahulu lagi perlu membuat sesuatu agar bidang ini makin menyerlah. Mungkin cara pengajaran dan pembelajaran perlu dilakukan penambahbaikan agar graduan ini menjadi produk yang 'laris' oleh industri pada masa kini.
Selama ini pelajar hanya mampu menghasilkan projek atau karya berdasarkan pemahaman bentuk dan teknikal sahaja. Tetapi mereka ini tidak menyelesaikan masalah kegunaan dan objektif produk. Ramai pensyarah merasakan peringkat menyelesaikan masalah kegunaan dan objektif produk agak berat dan menyukarkan pelajar. Tetapi jika dilihat dalam aspek kajian yang diberikan secara khusus akan dapat memberikan kemudahan kepada pelajar untuk menghasilkan idea produk inovasi yang baik dan lebih fokus. Sebagai contoh sebelum ini pelajar hanya menghasilkan produk seperti 'storage jar' yang menggunakan subjek pilihan siput. Akhirnya produk yang dihasilkan adalah 'storage jar' yang mempunyai dekorasi siput pada bahagian penutup dan sebahagian jasad produk. Tetapi tujuan utama kegunaan produk ini tidak dilakukan kajian. Saya berpendapat projek seperti ini telah banyak dilakukan oleh pelajar sebelum ini. Jika pelajar ini cuba mencari kelemahan 'storage jar' ini seperti aspek fungsi, saiz produk merujuk fungsi, kelemahan fungsi pada produk seumpama dipasaran atau ruang penyimpanan yang kurang ekonomik. Kelemahan ini sebagai satu kajian dan dilakukan penambahbaikan dengan menghasilkan 'storage jar' dengan nafas baru adalah lebih fokus dan relevan. Subjek pilihan mungkin boleh di gabungkan untuk meberikan nilai astetika produk berkenaan.
Melalui projek inovasi pelajar ini, peringkat pemulaan ini terdapat seorang sahaja pelajar yang saya rasakan berpotensi untuk dimajukan ke pertandingan inovasi IID 2009. Produk pelajar yang bernama Syaza Abdul Rahim iaitu Ceramic Fresh Fruit Bowl (CFFB) menampakkan satu penambahbaikan produk seumpamanya di dalam pasaran. Produk pelajar lain pada penilaian tahun akhir agak kurang memberangsangkan dari aspek persiapan dan kekemasan menyebabkan hanya seorang sahaja pelajar yang layak ke pertandingan inovasi tersebut.
Pertandingan inovasi IID 2009 menunjukkan peningkatan penyertaan daripada UiTM Perak iaitu sebanyak 17 penyelidikan inovasi (daripada FSSR) iaitu 16 projek daripada pensyarah dan 1 daripada pelajar tersebut. Peringkat ini saya mula mengorak langkah dengan menghantar 5 projek inovasi iaitu projek pelajar sebagai 'supervisor'; 'Ceramic Fresh Fruit Bowl', 'Soft Pastel using Oxide Colorant designed for Ceramic Underglaze Decoration', Gerlis daripada Abu Sampah Incinerator, 'Plas-Cel' dan 'Egg Shellware'. Selain projek pelajar, projek-projek saya ini adalah secara berkumpulan iaitu disertai oleh; Mohd Shahrol Hanafi, Nur Miswarini, Zahirah, Nor Nazida, Noor Hafifah dan Khairul Nizan Mohd Aris. Peringkat IID 2009 ini projek 'Soft Pastel using Oxide Colorant designed for Ceramic Underglaze Decoration' berjaya membawa pulang pingat emas dan semua 4 projek lain termasuk pelajar memenangi pingat perak. Projek soft pastel kali ini menggunakan konsep yang sama tetapi berbeza dari aspek bahan iaitu menggunakan oksida sebagai pewarna. Projek soft pastel ini telah terpilih ke peringkat ITEX 2009 dan mendapat pingat perak.
Apa yang membanggakan di sini, projek pelajar yang mendapat pingat perak ini mencipta sejarah yang tersendiri iaitu merupakan projek diploma pertama yang masuk bertanding ke pertandingan IID ini dan memenangi pingat perak. Kemenangan ini amat bererti bagi jabatan dan juga bagi diri saya. Bagi saya, kemenangan ini menunjukkan projek inovasi pelajar diploma mampu bersaing di peringkat yang tinggi. Para juri juga memberikan banyak komen yang positif memandangkan projek pelajar ini menunjukkan kualiti yang tinggi serta berupaya untuk di komersilkan. Kemenangan projek pelajar ini bagi saya ketika itu lebih bererti daripada pingat emas yang saya perolehi.
Alhamdulillah, projek pelajar ini telah terpilih ke pertandingan inovasi peringkat IPT seluruh Malaysia iaitu di International Exposition of Research and Invention of Institutions of Higher Learning (PECIPTA) 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Peringkat ini juga memberikan satu persepsi dan pengalaman baru kepada Syaza tentang penerimaan industri terhadap produk inovasi seramik. Ramai yang memuji produk yang beliau pamerkan dan ramai yang tidak menyangka bahawa UiTM menghasilkan pelajar seni seramik yang berupaya menghasilkan produk inovasi yang berkualiti. Alhamdulillah peringkat ini, projek inovasi beliau berjaya mendapat pingat perak.
Pertandingan PECIPTA ini juga merupakan pertama kalinya projek diploma daripada UiTM di hantar bertanding. Tidak lama kemudian, kami mendapat berita bahawa projek pelajar ini telah berjaya ke pertandingan peringkat antarabangsa iaitu di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2009 di Korea Selatan. Sesungguhnya, seluruh warga UiTM Perak gembira mendapat berita ini. Saya mengambil keputusan dengan mendaftarkan projek pelajar ini dibawah perlindungan harta intelek (paten) sebagai persediaan kami ke Seoul nanti.
Persediaan ke Seoul, Korea untuk pertandingan seterusnya bukan sekadar pertandingan biasa. Peringkat ini bukan sahaja menguji mental dan keupayaan produk inovasi pelajar ini malah membawa imej dan nama UiTM ke peringkat antarabangsa. Saya berbincang dengan Syaza dan merombak semula beberapa bahagian rekaan supaya produk inovasi tersebut lebih matang dan efisyen. Perubahan ini dirasakan perlu walaupun hanya 'mock-up' sahaja yang akan dibawa ke Seoul nanti. Perubahan ke atas produk CFFB ini juga dilakukan untuk mendapatkan perlindungan harta intelek (paten). Proses dokumentasi untuk mendapatkan paten pada kali ini menggunakan kaedah baru oleh pihak UiTM agak memudahkan penyelidik untuk memohon perlindungan ini berbanding kaedah terdahulu yang banyak menggunakan borang. Alhamdulillah, berdasarkan maklumbalas daripada pihak UiTM bahawa produk pelajar ini tiada masalah untuk didaftarkan. Memandangkan proses penghasilan rekaan baru yang agak memakan sedikit masa tetapi berdasarkan perbincangan dan tumpuan yang diberikan, produk inovasi ini berjaya disiapkan dalam masa yang ditetapkan.
Pertandingan kali ini sebenarnya benar-benar juga menguji keupayaan saya dan Syaza dalam menghasilkan perkembangan rekabentuk baru memandangkan kebanyakkan masa perbincangan kami adalah melalui telefon. Lakaran rekaan dan dokumentasi yang dihasilkan oleh Syaza dihantar kepada saya untuk dikomen dan disemak semuanya melalui email. Saya merasakan kaedah penyeliaan dan perbincangan secara 'on-line' ini juga efektif jika kedua-dua pihak memberikan kerjasama yang baik.
Sedar atau tidak masa berlalu amat pantas. Produk inovasi CFFB ini berjaya dihasilkan tetapi satu masalah lagi yang timbul iaitu pembiayaan perjalanan Syaza yang tidak dapat ditanggung oleh pihak UiTM. Memandangkan projek inovasi yang dipertandingkan selama ini jarang disertai oleh pelajar maka malang sekali bajet untuk pelajar tidak disediakan. Alhamdulillah, terima kasih kepada Dekan FSSR iaitu Prof. Madya Dr. Mustafa Halabi yang banyak membantu mendapatkan bajet perbelanjaan Syaza ke Seoul.
Masalah yang dihadapi telah pun selesai. Saya menarik nafas lega kerana Syaza sendiri yang akan mempersembahkan projek inovasinya kepada hakim pertandingan itu nanti. Terdetik dihati perasaan bangga melihat hasil usaha pelajar diploma jabatan seramik berjaya ke peringkat antarabangsa. Beberapa kali saya telah mengingatkan Syaza supaya benar-benar bersedia untuk melakukan persembahan produk itu nanti.
Perjalanan ke Korea merupakan satu pengalaman pertandingan inovasi kali terakhir yang saya alami sebelum cuti melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD 2010 nanti. Pengalaman ke negara ini telah memberikan pelbagai impak kepada kami terutama sekali bersama-sama dengan rakan sekerja baru dikenali daripada pelbagai bidang. Mereka ini ada yang selalu terlibat di peringkat antarabangsa tidak lokek memberikan motivasi dan semangat kepada kami yang baru pertama kali ke pertandingan luar ini. Mereka ini juga amat mengambil berat terhadap satu sama lain.
Alhamdulillah, pertandingan SIIF 2009 di Seoul Korea Selatan ini kami telah mendapat pingat Gangsa. Saya amat berbangga dengan pencapaian ini memandangkan projek diploma pelajar ini berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa. Kejayaan ini juga amat bermakna untuk Jabatan Seramik UiTM yang julung-julung kali menghantar pelajar menyertai pertandingan inovasi. Terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan penyertaan projek pelajar ini ke Korea terutama sekali pihak Dekan FSSR dan Pengarah Kampus UiTM Perak.
Pengalaman saya sepanjang penglibatan dalam inovasi banyak memberikan motivasi dan meningkatkan pengetahuan dalam bidang seramik secara lebih mendalam terutama sekali dari aspek inovasi bahan dan rekabentuk. Sepanjang penglibatan ini juga bagi saya masih belum cukup dan saya perlu memperbaiki lagi supaya setiap penyelidikan inovasi yang dihasilkan berupaya pergi lebih jauh iaitu ke peringkat pengkomersilan antarabangsa.
Setakat ini, saya telah mendaftarkan dua produk inovasi dibawah perlindungan harta intelek iaitu Ceramic Fresh Fruit Bowl dan Natural Substance Soft Pastel. Sepanjang penglibatan dalam inovasi ini yang bermula pada 2006, tahun 2009 merupakan tahun yang membanggakan bagi diri saya. Bukan kerana pencapaian saya tetapi saya berjaya membawa produk inovasi pelajar diploma sehingga ke peringkat antarabangsa.
Setelah melihat pencapaian projek inovasi pelajar ini, ia telah memotivasikan saya untuk terus membawa projek inovasi pelajar ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Jika penglibatan pelajar ini berterusan dan secara tidak langsung minat dan motivasi diri pelajar juga akan bertambah. Mereka akan lebih yakin untuk menghasilkan dan mempersembahkan hasil kerja mereka secara realistik untuk perkembangan seni seramik tanah air. Saya yakin jika scenario penglibatan inovasi pelajar berterusan, perkembangan seni seramik tanah air akan berlaku dengan hebat dan secara tidak langsung, produk seramik Malaysia berupaya bersaing di peringkat global.
Isnin, 2 November 2009
Jumaat, 30 Oktober 2009
Tip Untuk Pelajar: Menghasilkan Perkembangan Idea Untuk Projek Kursus Seni Reka Seramik
Seni Seramik memerlukan daya kreativiti dalam penghasilan karya atau produk yang kreatif. Produk atau karya yang dihasilkan oleh individu kreatif akan melahirkan karya yang bermutu. Setiap pereka dan pengkarya memerlukan cetusan idea yang kreatif serta bagus untuk menghasilkan karya atau produk yang mempunyai ciri-ciri estetika dan unik.
Untuk mendapatkan cetusan idea kreatif ini individu memerlukan satu dorongan yang kuat. Terdapat segelintir pelajar seni reka seramik merasakan untuk mendapatkan idea kreatif ini agak sukar dan memerlukan masa yang panjang. Di sini saya ingin memberikan beberapa tip yang mungkin boleh dijadikan panduan kepada pelajar yang ingin mendapatkan cetusan idea.
1) Objektif Projek
Objektif projek diperolehi berdasarkan maklumat yang diterima anda daripada pensyarah. Penerangan lanjut tentang objektif projek mungkin mempunyai beberapa terma dan informasi yang mengelirukan anda. Pastikan anda benar-benar faham dan jelas tentang apa yang dikehendaki anda persiapkan sepanjang melalui proses penghasilan produk / karya anda. Sebagai contoh, anda diarahkan menghasilkan sejenis produk tableware. Pastikan anda jelas projek yang telah diarahkan. Kemungkinan persoalan yang jelas sekali anda perlu tahu sebagai contohnya; apakah dimaksudkan produk tableware? Adakah anda perlu menghasilkan satu set produk atau hanya satu produk utama sahaja? Bagaimana teknik penghasilan yang akan digunakan? Apakah batasan kerja di dalam projek ini? Persoalan ini memerlukan perbincangan mendalam dengan pensyarah anda supaya informasi yang diterima begitu jelas.
Cuba anda lakukan ‘brainstorming’ dengan kaedah senaraikan segala objektif secara tersusun seperti kaedah ‘mind-map’. Dengan susunan yang teratur akan memudahkan anda melakukan aktiviti seterusnya. Kaedah senarai ini juga secara tidak langsung akan menjadi checklist sepanjang proses menyiapkan projek tersebut. Pastikan senarai ini sentiasa bersama. Amalkan segala nota-nota yang diambil semasa syarahan projek setiap minggu dicatat. Sebaik-baiknya jadikan buku ‘sketch’ sebagai buku nota. Dengan ini segala rekod projek, perbincangan dengan pensyarah, ‘brainstorming’, lakaran serta penyelidikan berada di dalam satu tempat.
2) Jenis Karya atau Produk
Kebiasaan pelajar akan memilih subjek pilihan (subjek matter) dahulu untuk menghasilkan perkembangan idea. Menggunakan langkah ini adalah kurang berkesan dan boleh mengelirukan pada pertengahan projek. Adalah lebih mudah jika seseorang pelajar ini melakukan pemilihan jenis karya atau produk terlebih dahulu sebelum melalui proses pemilihan subjek. Pastikan apakan jenis karya yang ingin digunakan sebagai idea utama. Senaraikan jenis mengikut keutamaan. Kaedah ini membantu memberikan pilihan alternatif jika anda mengalami masalah dalam mendapatkan maklumat terperinci.
Saya ingin nasihatkan anda jika memilih jenis karya atau produk, yang pertama biarlah berdasarkan minat. Minat terhadap sesuatu jenis karya akan membuatkan pelajar ini akan terus berusaha mendapatkan maklumat dan menghasilkan karya atau produk dengan lebih baik. Yang kedua, nilai kemahiran diri dalam penghasilan produk atau karya seramik berdasarkan jenis karya atau produk yang akan dihasilkan. Kemahiran asas dalam diri pelajar juga membantu meningkatkan kualiti produk atau karya seramik ini.
Subjek pilihan merupakan asas dalam menghasilkan karya atau produk. Kadangkala proses ini tidak perlu digunakan berdasarkan idea yang akan dihasilkan. Penggunaan subjek pilihan juga jika tidak aplikasi secara terancang akan menghasilkan karya atau produk yang kurang berjaya. Apakah subjek pilihan yang baik? Jawapan persoalan ini sebenarnya adalah berdasarkan minat dan kesukaan anda. Lakukan penyelidikan yang mendalam tentang subjek pilihan dan jenis produk yang dipilih supaya anda benar-benar faham tentang karya atau produk anda. Tetapi di sini saya akan memberikan beberapa pandangan jenis-jenis subjek pilihan yang sesuai;
a) Alam sekeliling
Pemilihan subjek ini tidak mempunyai hadnya. Anda boleh mendapati apa yang terdapat disekeliling. Berjayanya sesuatu produk seramik ini bukan berdasarkan subjek pilihan tetapi bagaimana anda berjaya mengolah produk anda bersama karektor subjek pilihan. Ramai pelajar hanya melihat ‘luaran’ subjek pilihan sahaja. Mereka tidak benar-benar mengenali subjek yang dipilih dan tidak melihat bahagian subjek yang mempunyai keistimewaan serta unik. Ini akan merugikan pelajar. Alam sekeliling merupakan subjek yang sering menjadi tumpuan pelajar. Antara contoh-contoh subjek daripada alam sekeliling; siput laut, buah-buahan, sayuran, tumbuhan hutan / liar, bungaan, barangan buatan manusia, haiwan, serangga, riak air, dan sebagainya.
b) Permasalahan atau Penambahbaikan Fungsi Produk
Kadangkala jenis karya pun sudah cukup dijadikan sebagai inspirasi. Sebenarnya ramai pelajar yang kurang didedahkan tentang perkara ini iaitu permasalahan fungsi produk sebagai subjek pilihan. Untuk mendapatkan permasalahan fungsi produk, anda hanya perlu melakukan kajian terhadap sesuatu jenis karya yang dipilih dan melihat permasalahan fungsi yang berlaku. Sebagai contohnya penutup teko yang sering tertanggal semasa proses penuangan. Permasalahan penutup teko ini dikaji dan dilakukan pembaharuan dalam rekabentuk yang baru untuk memastikan penutup ini tidak lagi mudah tertanggal.
Mungkin jenis karya yang dipilih tidak mempunyai sebarang masalah. Anda mungkin boleh mencadangkan penambahbaikan yang boleh dilakukan ke atas produk berkenaan. Sebagai contoh pinggan yang mempunyai komponen tambahan untuk kemudahan meletakkan sudu, garpu dan chopstik.
Subjek daripada permasalahan dan penambahbaikan ini jika ingin dihasilkan, produk yang difikirkan ini mestilah mempunyai kemudahan kepada pengguna dan bukannya menambahkan kesukaran. Jika sebelum ini produk yang difikirkan bermasalah lebih menyenangkan pengguna berbanding idea anda yang terbaru, adakah idea anda lebih mesra pengguna? Hasilkan ‘brainstorming’ untuk memudahkan anda melihat permasalahan dan penyelesaian ini dengan lebih efektif. Projek yang menggunakan subjek ini lebih dikenali sebagai inovasi dan rekacipta.
c) Konsep karya
Ramai yang tidak mengetahui bahawa konsep karya juga boleh dijadikan sebagai satu inspirasi dalam menghasilkan produk atau karya seramik yang kreatif. Konsep yang dimaksudkan seperti produk untuk perkahwinan, pertunangan, hotel, pejabat, istana, restoran, cenderahati VIP dan sebagainya. Bagaimana hendak menggabungkan konsep karya dengan jenis karya? Apabila anda sudah mengesahkan jenis karya yang ingin dihasilkan, pilih konsep karya yang akan digunakan (senaraikan konsep yang difikirkan sesuai dengan jenis karya anda).
Pastikan konsep yang akan digunakan ini bersesuaian dengan jenis karya, dekorasi, penggunaan dan fungsi. Semua ini perlu fikirkan sebagai memastikan karya ini mempunyai objektif terhadap konsep. Sebagai contoh; jika anda memilih mangkuk buah sebagai jenis karya, anda memilih ruang bilik hotel sebagai konsep. Karya mangkuk buah anda mestilah mempunyai ciri-ciri yang jelas dan hanya sesuai untuk ruang bilik hotel. Perkara yang perlu difikirkan dari sudut warna, saiz, keselamatan, moden (rata-rata dekorasi dalaman hotel masa kini berbentuk moden) dan yang paling penting produk tersebut hanya untuk mangkuk buah sahaja dan bukannya boleh diletakkan pelbagai jenis makanan lain (sup atau gula-gula).
4) Lukisan Subjek Pilihan
Lukisan subjek pilihan yang dimaksudkan adalah lukisan analitikal. Lukisan analitikal diperlukan untuk menjana perkembangan idea anda serta mendapatkan ‘bahagian istimewa atau unik’ subjek pilihan anda. Proses lukisan ini akan mengambil masa memandangkan pengamatan yang mendalam diperlukan. Anda boleh melakukan eksplorasi ke atas subjek dengan melihat kepelbagaian sudut pandangan dan termasuk juga bahagian dalaman subjek jika boleh. Kaedah ini dapat memudahkan anda fahami subjek pilihan secara mendalam.
Lakukan perbincangan dengan pensyarah apabila anda sudah menghasilkan lukisan subjek pilihan untuk mendapatkan pandangan serta idea. Kadangkala mungkin anda terlepas pandang sesuatu yang amat bagus dijadikan sebagai inspirasi dan mungkin pensyarah anda nampak. Jadikan perbincangan ini sebagai satu rutin untuk kejayaan produk anda nanti.
5) Lakaran Perkembangan Idea ‘Thumbnail’
Setelah lukisan analitikal sudah siap sepenuhnya dan diterima oleh pensyarah, proses menghasilkan perkembangan idea perlu dilakukan. Tip untuk mendapatkan perkembangan idea dengan cepat, cuba gunakan kaedah lakaran ‘thumbnail’ (thumbnail sketch). Lakaran sebesar ibu jari secara pantas akan mempercepatkan proses mendapatkan idea dengan jelas berbanding menggunakan kaedah lukisan bersaiz sederhana. Pengalaman dalam pengajaran di jabatan seramik selama ini telah membuktikan bahawa kaedah ini telah mempercepatkan pelajar mendapatkan idea dengan banyak.
Proses lakaran ini hanya dilakukan dengan memberikan tumpuan kepada reka bentuk asas produk sebelum memasuki fasa dekorasi permukaan. Reka bentuk asas produk merupakan proses utama yang perlu dihasilkan oleh pelajar untuk mendapatkan percambahan idea. Proses ini mungkin akan menghasilkan jumlah lakaran yang banyak dan pelbagai. Satu peringkat lakaran yang dihasilkan akan dipilih sebagai saringan. Beberapa lakaran idea yang dipilih ini diolah dan dikembangkan semula supaya penambahbaikan dapat dihasilkan. Proses ini memerlukan kesabaran jika ingin melihat hasil karya atau produk yang baik.
6) Mock-Up Perkembangan Idea
Perkembangan idea selalunya melibatkan lakaran atau lukisan secara 2 dimensi. Perkembangan idea ini juga boleh dihasilkan dengan menggunakan kaedah pembuatan ‘mock-up’ atau model berskala kecil secara 3 dimensi. Walaupun penghasilan ‘mock-up’ ini bersaiz yang kecil berbanding saiz sebenar, teknik pembuatan yang digunakan mestilah sama dengan yang sebenar. Ini kerana anda akan mengalami pengalaman menghasilkan produk tersebut dan mengetahui sedikit sebanyak teknikal pembuatan berdasarkan ‘mock-up’ ini. Pengalaman ini akan memudahkan anda membuat penambahbaikan terhadap produk atau karya akhir.
Selain itu, menghasilkan ‘mock-up’ akan mempermudahkan anda melihat bentuk karya yang sebenar dan dapat melakukan pertambahan perkembangan idea. Dengan melakukan eksperimentasi ini memudahkan anda faham sifat bahan yang digunakan serta bentuk yang akan dihasilkan. Proses menghasilkan ‘mock-up’ ini mungkin melibatkan kos bahan yang tinggi. Walaupun demikian, ‘mock-up’ juga boleh dijadikan sebagai sampel ujikaji untuk mendapatkan warna gerlis. Tetapi ingat, ‘mock-up’ bukanlah karya atau produk akhir anda. Tetapi ianya boleh diberi markah penilaian untuk proses perkembangan idea dan kreativiti. Maka, pembuatan ‘mock-up’ bukanlah satu kerja yang sia-sia serta ia mempermudahkan anda di dalam proses perbincangan tentang teknikal bersama pensyarah berdasarkan sampel ‘mock-up’ yang sedia ada.
7) Lukisan Idea Terperinci
Sebelum menghasilkan produk akhir, lukisan idea secara terperinci perlu dilakukan untuk memperlihatkan reka bentuk, dekorasi serta warna. Peringkat ini anda akan memasukkan beberapa elemen warna dan dekorasi seperti yang dicadangkan. Lukisan perincian ini akan menampakkan kesesuaian serta pilihan sebelum ianya dihasilkan ke dalam karya atau produk yang sebenar. Kegagalan menghasilkan lukisan ini akan banyak memberi impak terhadap kerja-kerja penghasilan karya atau produk. Proses menyiapkan karya atau produk dengan pantas boleh terganggu jika kegagalan ini dipandang ringan. Pendek kata, pastikan segala proses ini disiapkan sebagai kemudahan anda di masa depan. Pastikan segala lukisan idea ini sentiasa dirujuk semasa proses pembuatan sebagai satu komunikasi idea dengan karya untuk memastikan produk atau karya akhir yang dihasilkan adalah seperti yang dirancangkan.
Kesimpulan
Proses penghasilan projek yang diberikan memerlukan tumpuan sepenuhnya. Anda perlu mendidik diri untuk berusaha dan tidak mudah berputus asa. Penghasilan karya atau produk seramik bukanlah sesuatu yang mudah jika tanpa minat dan usaha. Penghasilan produk seramik ini memerlukan kesabaran yang tinggi memandangkan proses pembuatan yang panjang dan merisikokan. Anda boleh menarik nafas lega jika produk yang dihasilkan selamat sehingga berada di atas meja untuk penilaian akhir tanpa mengalami kerosakkan. Banyak karya yang mengalami kegagalan sama ada pecah, sumbing, retak, melengkung dan sebagainya atau lenyap terus dicuri orang. Pastikan anda menguruskan diri dan menyiapkan karya dengan lebih awal.
Tip-tip ini ditulis berdasarkan pengalaman diri saya sebagai pensyarah di Jabatan Seramik UiTM Perak selama ini. Pengalaman melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dikumpul dan ditulis untuk rujukan pelajar. Pelajar mampu berjaya dengan cemerlang jika mempunyai minat yang tinggi serta ingin berusaha untuk berjaya. Didikan pensyarah tidak akan mencukupi jika tanpa usaha. Proses pembelajaran universiti berasaskan ‘problem-based learning’ memerlukan penglibatan pelajar yang menyeluruh. Pastikan diri anda berdisiplin, aktif di dalam bilik kuliah serta minat akan meletakkan diri anda dikalangan orang yang berjaya.




























