Isnin, 7 September 2026

"Digital Glazing": Inovasi Baharu Dalam Proses Penggerlisan Seramik

 Penulis: Mohd Khairi Baharom

1. Pengenalan

Gerlis merupakan salah satu komponen penting dalam penghasilan produk dan karya seramik. Selain memberikan warna dan nilai estetik pada permukaan, gerlis juga berfungsi membentuk lapisan berkaca yang dapat melindungi permukaan badan seramik selepas proses pembakaran. Dalam amalan seramik, gerlis boleh diaplikasikan melalui beberapa kaedah seperti celupan, sapuan, tuangan dan semburan. Setiap kaedah memberikan kesan yang berbeza dari segi ketebalan, warna, tekstur dan kualiti permukaan.

Walaupun kaedah penggerlisan secara konvensional masih digunakan secara meluas dalam studio dan industri seramik, perkembangan teknologi telah membuka ruang kepada kaedah aplikasi yang lebih terkawal. Salah satu perkembangan yang semakin diberi perhatian ialah penggerlisan digital atau "digital glazing". Teknologi ini membolehkan gerlis diaplikasikan pada permukaan seramik melalui sistem yang dikawal secara digital, berbanding bergantung sepenuhnya kepada kemahiran tangan atau sistem semburan biasa.

Perkembangan teknologi dekorasi digital dalam industri jubin seramik telah menjadi asas kepada perkembangan "digital glazing". Jaramillo Nieves et al. (2020) menjelaskan bahawa selepas penggunaan teknologi dekorasi digital menjadi semakin stabil dalam industri jubin seramik, penggerlisan digital dilihat sebagai langkah seterusnya ke arah pembangunan sistem dekorasi seramik yang lebih lengkap secara digital.

Perubahan ini menarik untuk diperhatikan kerana inovasi penggerlisan tidak lagi hanya melibatkan penciptaan warna atau formulasi gerlis baharu. Ia kini turut melibatkan bagaimana gerlis disediakan, dikawal, diaplikasikan dan disepadukan dengan teknologi digital.

2. Apakah Yang Dimaksudkan Dengan "Digital Glazing"?

Penggerlisan digital atau "digital glazing" merujuk kepada penggunaan sistem digital untuk mengawal aplikasi gerlis pada permukaan seramik. Dalam pendekatan ini, mesin dapat menentukan lokasi gerlis, jumlah bahan yang diaplikasikan dan pola permukaan berdasarkan data digital.

Konsep ini mempunyai persamaan dengan teknologi cetakan digital "inkjet", tetapi fungsi kedua-duanya tidak semestinya sama. Dalam dekorasi digital biasa, bahan pewarna seramik atau "ceramic ink" digunakan untuk menghasilkan imej, warna atau corak pada permukaan. Dalam "digital glazing", bahan yang diaplikasikan mempunyai fungsi sebagai lapisan gerlis itu sendiri.

Salah satu sistem yang digunakan ialah kaedah "drop-on-demand". Dalam pendekatan ini, titisan bahan hanya dikeluarkan apabila diperlukan pada lokasi tertentu. Sistem seperti ini membolehkan penggunaan bahan dikawal dengan lebih tepat dan mengurangkan pengeluaran gerlis pada bahagian permukaan yang tidak diperlukan.

Projek Glazetile yang dibangunkan dengan sokongan Kesatuan Eropah, sebagai contoh, telah meneroka penggunaan sistem digital untuk mendepositkan suspensi gerlis berasaskan air secara terus pada permukaan jubin seramik. Teknologi tersebut dibangunkan bagi menghasilkan sistem penggerlisan yang lebih tepat dan mengurangkan kehilangan bahan semasa proses aplikasi (European Commission, 2021).

Oleh itu, "digital glazing" tidak seharusnya difahami sekadar sebagai mencetak imej pada seramik. Ia merupakan perubahan dalam cara gerlis dihantar, diletakkan dan dikawal pada permukaan.

3. Daripada Penggerlisan Konvensional Kepada Penggerlisan Digital

Kaedah penggerlisan konvensional mempunyai kelebihan tersendiri. Kaedah celupan, sebagai contoh, dapat menghasilkan salutan gerlis dengan cepat pada keseluruhan permukaan. Sapuan pula memberikan kebebasan kepada pengkarya untuk menghasilkan kesan yang lebih spontan. Teknik tuangan boleh menghasilkan pergerakan gerlis yang tidak sekata tetapi menarik, manakala semburan membolehkan lapisan yang lebih lembut dan beransur.

Walau bagaimanapun, beberapa kaedah ini mempunyai kekangan dari segi penggunaan bahan dan kawalan ketebalan. Dalam proses semburan, sebahagian gerlis mungkin tidak sampai kepada permukaan objek. Keadaan ini menyebabkan pembaziran bahan dan menghasilkan partikel halus dalam persekitaran kerja.

Sebaliknya, "digital glazing" menggunakan sistem yang lebih terkawal. Gerlis dapat diletakkan pada kawasan tertentu sahaja berdasarkan data yang telah ditetapkan. Dalam pengeluaran industri, pendekatan ini mempunyai potensi untuk meningkatkan ketepatan dan mengurangkan penggunaan bahan yang tidak diperlukan.

European Commission (2021) melaporkan bahawa teknologi Glazetile direka untuk mengurangkan kehilangan gerlis melalui proses aplikasi yang lebih tepat. Sistem tersebut juga menggunakan suspensi berasaskan air sebagai satu usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan pembawa organik tertentu.

Namun, ini tidak bermaksud kaedah konvensional sudah tidak relevan. Dalam seramik studio dan karya seni, variasi yang terhasil daripada sapuan tangan, celupan atau tuangan boleh menjadi sebahagian daripada bahasa visual pengkarya. Penggerlisan digital menawarkan jenis kawalan yang berbeza, khususnya apabila ketepatan, pengulangan dan variasi berdasarkan data diperlukan.

Rajah 1 menunjukkan perubahan asas daripada aplikasi gerlis secara konvensional kepada sistem penggerlisan digital. Walaupun kaedah aplikasi berubah daripada kawalan tangan kepada kawalan berasaskan data, proses pengeringan dan pembakaran masih menjadi faktor utama yang menentukan pembentukan serta kualiti permukaan gerlis.

Rajah 1.
Perkembangan proses penggerlisan daripada kaedah konvensional kepada penggerlisan digital dan pembakaran.
Nota. Rajah dibangunkan oleh penulis berdasarkan konsep penggerlisan digital yang dibincangkan oleh Jaramillo Nieves et al. (2020) dan European Commission (2021).


4. Bagaimanakah Proses "Digital Glazing" Dilakukan?

Walaupun sistem penggerlisan digital bergantung kepada teknologi mesin, kejayaannya masih berkait rapat dengan pengetahuan asas bahan seramik. Gerlis yang digunakan perlu mempunyai ciri tertentu supaya dapat bergerak melalui sistem aplikasi dan membentuk lapisan yang baik pada permukaan.

4.1 Penyediaan Permukaan Seramik

Badan seramik perlu berada dalam keadaan yang sesuai sebelum gerlis diaplikasikan. Permukaan yang terlalu berdebu atau tercemar boleh mengganggu lekatan gerlis. Tahap penyerapan badan juga penting kerana ia mempengaruhi bagaimana air daripada suspensi gerlis diserap.

Dalam amalan studio biasa, keadaan badan biskut sering dinilai melalui pengalaman. Dalam sistem digital, kawalan terhadap permukaan perlu lebih konsisten kerana perubahan kecil pada penyerapan dan tekstur boleh mempengaruhi hasil aplikasi.

4.2 Penyediaan Suspensi Gerlis

Gerlis untuk sistem digital perlu berada dalam bentuk suspensi yang stabil. Ini bermaksud partikel pepejal perlu tersebar dengan baik dalam medium cecair dan tidak mendap dengan terlalu cepat.

Beberapa ciri penting termasuk:

  • saiz partikel atau "particle size"
  • kelikatan atau "viscosity"
  • sifat aliran atau "rheology"
  • kestabilan suspensi atau "suspension stability"
  • ketegangan permukaan atau "surface tension"

Perkara ini penting kerana gerlis perlu bergerak melalui saluran atau bahagian penghantaran mesin tanpa menyebabkan penyumbatan.

Jaramillo Nieves et al. (2020) menyatakan bahawa salah satu isu penting dalam pembangunan gerlis untuk aplikasi digital ialah saiz partikel. Partikel dalam suspensi perlu dikawal kerana saiz yang terlalu besar boleh menimbulkan masalah pada sistem aplikasi digital.

4.3 Kawalan Saiz Partikel

Saiz partikel bukan hanya penting untuk memastikan gerlis dapat melalui sistem aplikasi. Ia juga boleh mempengaruhi struktur lapisan gerlis selepas diaplikasikan.

Kajian Jaramillo Nieves et al. (2020) menunjukkan bahawa perubahan dalam taburan saiz partikel mempengaruhi kecekapan susunan partikel dalam lapisan gerlis. Apabila struktur lapisan berubah, tahap keliangan turut berubah. Keadaan ini kemudiannya memberi kesan kepada bagaimana bahan dekorasi digital diserap dan tersebar di atas permukaan.

Kajian yang lebih terkini oleh Yıldız (2024) turut menunjukkan bahawa taburan saiz partikel boleh memberi kesan kepada ciri gerlis seperti struktur mikro, kekilatan, pembentukan kristal dan sifat permukaan selepas pembakaran. Ini menunjukkan bahawa proses pengisaran dan pengawalan saiz partikel bukan sekadar perkara teknikal sebelum aplikasi, tetapi boleh mempengaruhi hasil visual akhir gerlis.

Bagi pelajar seramik, perkara ini penting untuk difahami. Gerlis yang kelihatan sama dari segi komposisi kimia belum tentu menghasilkan permukaan yang sama jika saiz partikelnya berbeza.

4.4 Aplikasi Gerlis Secara Digital

Selepas suspensi disediakan, sistem digital mengawal bagaimana bahan diletakkan pada permukaan. Melalui kawalan digital, jumlah bahan pada sesuatu kawasan boleh ditambah atau dikurangkan.

Keadaan ini membuka kemungkinan untuk menghasilkan:

  • lapisan yang berbeza ketebalan
  • kawasan gerlis terpilih atau "selective glazing"
  • permukaan bertekstur
  • pola berulang
  • perubahan antara matte dan berkilat
  • kesan relief
  • variasi permukaan berdasarkan imej atau data digital

Dalam konteks reka bentuk, perkara ini mempunyai potensi yang besar kerana permukaan boleh dirancang sejak peringkat awal melalui fail digital dan kemudiannya diterjemahkan kepada aplikasi bahan.

4.5 Pengeringan

Selepas aplikasi, air daripada suspensi gerlis perlu dikeluarkan secara terkawal. Jika pengeringan berlaku secara tidak sekata, lapisan gerlis mungkin mengalami keretakan atau pemisahan daripada badan.

Walaupun sistem aplikasi telah menjadi digital, isu asas seperti pengeringan masih kekal penting. Ini menunjukkan bahawa teknologi digital tidak menghapuskan prinsip asas dalam teknologi seramik.

4.6 Pembakaran

Tahap akhir masih melibatkan proses pembakaran. Semasa pembakaran, komponen dalam gerlis mula bertindak balas, mencair dan membentuk permukaan berkaca atau separa berkaca.

Kualiti akhir bergantung kepada hubungan antara:

  • komposisi gerlis
  • badan seramik
  • saiz partikel
  • ketebalan aplikasi
  • suhu pembakaran
  • kadar kenaikan suhu
  • atmosfera pembakaran
  • tempoh pembakaran

Yıldız (2024) menunjukkan bahawa saiz partikel boleh mempengaruhi proses pembentukan fasa dan struktur mikro gerlis selepas pembakaran. Oleh itu, ketepatan sistem digital masih perlu disokong oleh kefahaman terhadap ilmu bahan dan pembakaran seramik.

5. Mengapa "Particle Size" Dan "Rheology" Sangat Penting?

Salah satu perkara yang menarik dalam "digital glazing" ialah hubungan yang sangat rapat antara teknologi mesin dengan sains bahan.

Mesin yang canggih tidak akan dapat menghasilkan gerlis yang baik jika suspensi bahan tidak mempunyai sifat aliran yang sesuai.

"Rheology" secara mudah merujuk kepada bagaimana sesuatu bahan mengalir apabila dikenakan daya. Dalam gerlis, sifat ini berkait dengan kelikatan, jumlah pepejal, saiz partikel dan interaksi antara partikel.

Jika suspensi terlalu cair, gerlis mungkin merebak terlalu jauh selepas menyentuh permukaan. Jika terlalu pekat, ia mungkin sukar bergerak melalui sistem aplikasi. Jika partikel mendap terlalu cepat, komposisi bahan yang keluar daripada mesin boleh berubah sepanjang proses pengeluaran.

Jaramillo Nieves et al. (2020) menunjukkan bahawa perubahan saiz partikel gerlis boleh mempengaruhi struktur lapisan dan seterusnya bagaimana titisan bahan dekorasi bergerak pada permukaan. Ini menunjukkan bahawa pengawalan "particle size" dan "rheology" merupakan sebahagian daripada reka bentuk proses, bukan hanya isu penyediaan bahan.


6. Inovasi Gerlis Berasaskan Air

Salah satu perkembangan penting dalam "digital glazing" ialah penggunaan suspensi gerlis berasaskan air atau "water-based".

Dalam sesetengah teknologi aplikasi digital terdahulu, penggunaan bahan pembawa organik diperlukan untuk memastikan sifat aliran sesuai dengan sistem mesin. Namun, penggunaan bahan tersebut boleh meningkatkan isu pelepasan wap dan keperluan sistem pengudaraan.

Projek Glazetile memberi perhatian kepada pembangunan suspensi gerlis berasaskan air yang dapat diaplikasikan secara digital. Menurut European Commission (2021), sistem tersebut direka untuk menggunakan suspensi berasaskan air dan mengurangkan kehilangan gerlis melalui kawalan kawasan aplikasi.

Sistem DigiGlaze dalam projek tersebut menggunakan mekanisme "drop-on-demand" yang membolehkan bahan dikeluarkan berdasarkan keperluan proses. Pendekatan ini juga dikembangkan supaya dapat mengendalikan saiz partikel yang lebih hampir kepada gerlis konvensional berbanding sistem cetakan digital yang memerlukan partikel sangat halus.

Perkembangan ini menarik kerana ia menunjukkan bahawa inovasi tidak semestinya bermaksud menghasilkan bahan yang semakin kompleks. Dalam keadaan tertentu, inovasi juga boleh bermaksud mencari sistem yang membolehkan bahan berasaskan air digunakan dengan lebih berkesan.


7. "Digital Glazing" dan Kelestarian

Perbincangan mengenai teknologi seramik masa kini semakin berkait dengan isu kelestarian. Industri seramik menggunakan bahan mentah, air dan tenaga dalam jumlah yang besar, terutamanya pada peringkat pengisaran, pengeringan dan pembakaran.

Penggerlisan digital mempunyai beberapa potensi dari sudut penggunaan bahan. Sistem yang hanya mengeluarkan gerlis pada kawasan yang diperlukan dapat mengurangkan pembaziran berbanding proses yang menghasilkan lebihan semburan atau gerlis terbuang.

Dalam pembangunan Glazetile, antara sasaran yang diberikan ialah mengurangkan kehilangan gerlis serta penggunaan sistem berasaskan pelarut organik tertentu. Penggunaan gerlis berasaskan air turut dilihat sebagai satu cara untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih baik dan mengurangkan pelepasan wap daripada medium organik (European Commission, 2021).

Walau bagaimanapun, "digital glazing" tidak seharusnya terus dianggap sebagai teknologi yang sepenuhnya mesra alam. Mesin digital masih memerlukan tenaga, penyelenggaraan, komponen elektronik dan sistem kawalan. Gerlis juga masih melibatkan bahan mentah yang perlu diproses dan akhirnya melalui pembakaran pada suhu tertentu.

Oleh itu, nilai kelestarian lebih tepat dilihat melalui peningkatan kecekapan penggunaan bahan, pengurangan sisa dan peningkatan kawalan proses.

8. Potensi "Digital Glazing" dalam Seni Seramik dan Amalan Studio

Penggerlisan digital pada masa ini lebih banyak dikembangkan untuk industri jubin seramik. Namun, prinsip di sebalik teknologi tersebut mempunyai potensi untuk diterokai dalam seni seramik dan reka bentuk.

Dalam amalan studio, pengkarya biasanya mengawal gerlis melalui gerakan tangan. Ketebalan sapuan, arah tuangan atau jarak semburan boleh menghasilkan variasi yang sukar diulang dengan tepat. Keadaan ini sering menjadi sebahagian daripada nilai ekspresif karya.

Teknologi digital menawarkan pendekatan yang berbeza. Permukaan boleh dibina melalui data dan arahan yang telah ditetapkan.

Contohnya, seorang pengkarya boleh menghasilkan permukaan yang mempunyai kawasan gerlis tebal dan nipis berdasarkan imej digital. Bahagian tertentu boleh dibiarkan tanpa gerlis manakala bahagian lain mempunyai lapisan yang sangat tepat.

Pengkarya juga boleh menggabungkan:

  • "digital glazing"
  • cetakan seramik digital
  • tekstur tiga dimensi
  • gerlis matte
  • gerlis berkilat
  • relief
  • imej fotografi
  • corak yang dihasilkan melalui komputer

Kemungkinan ini membuka satu persoalan yang menarik dalam seni seramik. Jika sebelum ini gerlis banyak dikawal melalui tangan, apakah bentuk visual yang dapat dihasilkan apabila penggerlisan dikawal melalui data?

Teknologi ini tidak seharusnya hanya digunakan untuk menghasilkan permukaan yang sempurna. Dalam konteks seni, sistem digital juga boleh digunakan secara eksperimental untuk menghasilkan ketidakteraturan, perbezaan ketebalan dan hubungan antara kawalan mesin dengan sifat semula jadi bahan.


9. Perkembangan Lain dalam Teknologi Gerlis

Selain penggerlisan digital, penyelidikan berkaitan gerlis turut berkembang dalam beberapa arah lain.

Salah satu pendekatan yang menarik ialah penggunaan teknologi "sol-gel". Sfez et al. (2022) membangunkan sistem gerlis berasaskan matriks aluminosilikat "sol-gel" yang membolehkan pewarna organik tertentu digunakan pada permukaan porselin dan kaca. Kajian tersebut menunjukkan bahawa lapisan yang dihasilkan mempunyai warna yang terang, lekatan yang baik dan kestabilan kimia, serta boleh dihasilkan melalui proses bersuhu lebih rendah berbanding beberapa pendekatan pewarnaan seramik konvensional.

Apa yang menarik ialah penyelidikan tersebut turut melihat potensi teknologi tersebut untuk aplikasi artistik. Penggunaan pewarna organik membuka kemungkinan warna yang berbeza daripada sistem pewarna seramik tradisional yang banyak bergantung kepada oksida logam.

Walaupun pendekatan "sol-gel" berbeza daripada "digital glazing", kedua-duanya menunjukkan bahawa inovasi gerlis kini bergerak dalam pelbagai arah. Satu arah memberi perhatian kepada ketepatan aplikasi melalui digitalisasi, manakala satu lagi meneroka perubahan dalam bahan dan proses pembentukan lapisan.

Kajian berkaitan prestasi permukaan juga semakin penting. Fabris et al. (2025), sebagai contoh, mencadangkan pendekatan penilaian terhadap sifat tribomekanikal gerlis jubin seramik. Ini menunjukkan bahawa penyelidikan gerlis masa kini tidak hanya melihat warna dan kekilatan, tetapi juga prestasi permukaan seperti ketahanan terhadap geseran dan kehausan.

10. Kelebihan dan Cabaran "Digital Glazing"

Penggerlisan digital mempunyai beberapa kelebihan yang jelas. Ia memberikan kawalan yang lebih tinggi terhadap lokasi dan jumlah gerlis. Corak dapat diulang dengan lebih konsisten dan variasi permukaan dapat dibina berdasarkan data digital.

Penggunaan bahan juga boleh menjadi lebih cekap kerana gerlis tidak semestinya perlu diaplikasikan pada keseluruhan permukaan.

Namun, teknologi ini mempunyai beberapa cabaran.

Pertama ialah kos mesin dan sistem kawalan. Teknologi ini masih lebih sesuai untuk pengeluaran industri berbanding studio kecil.

Kedua ialah keperluan penyediaan gerlis yang lebih terkawal. Gerlis konvensional tidak semestinya boleh terus digunakan dalam mesin digital tanpa perubahan terhadap saiz partikel dan sifat aliran.

Ketiga ialah penyelenggaraan. Sistem digital mempunyai bahagian mekanikal dan saluran bahan yang perlu sentiasa berada dalam keadaan baik.

Keempat ialah keperluan kemahiran baharu. Pengguna bukan sahaja perlu memahami gerlis dan pembakaran tetapi juga perlu memahami pengurusan fail digital, parameter mesin dan hubungan antara data dengan bahan.

Dengan kata lain, "digital glazing" tidak mengurangkan keperluan pengetahuan seramik. Sebaliknya, ia menambahkan satu lagi lapisan pengetahuan yang perlu dikuasai.

11. Adakah "Digital Glazing" Akan Menggantikan Penggerlisan Tradisional?

Kemungkinan besar tidak.

Kaedah tradisional dan digital mempunyai kekuatan yang berbeza.

Dalam penghasilan tembikar studio, kesan sapuan berus, aliran gerlis dan tindak balas bahan yang sukar diramal mempunyai nilai estetik tersendiri. Kesan sebegini mungkin tidak perlu dikawal secara sempurna.

Dalam pengeluaran industri pula, ketepatan dan kebolehulangan merupakan perkara yang penting. Dalam keadaan ini, "digital glazing" menawarkan kelebihan yang jelas.

Bagi seni seramik kontemporari, pendekatan yang lebih menarik mungkin bukan memilih salah satu antara tradisional dan digital, tetapi menggabungkan kedua-duanya.

Sebagai contoh, lapisan pertama boleh diaplikasikan secara digital untuk membentuk pola yang tepat. Lapisan kedua pula boleh disapu atau dituang secara manual. Selepas pembakaran, interaksi antara kedua-dua lapisan boleh menghasilkan permukaan yang menggabungkan ketepatan teknologi dengan sifat spontan bahan.

Pendekatan seperti ini menunjukkan bahawa teknologi digital tidak semestinya menghapuskan sentuhan tangan. Sebaliknya, ia boleh menambah satu lagi alat kepada proses kreatif pengkarya.

12. Implikasi terhadap Pendidikan Seramik

Perkembangan "digital glazing" turut memberi implikasi terhadap pendidikan seramik.

Pengajaran seramik secara tradisional biasanya bermula dengan pengenalan kepada tanah liat, pembentukan, pengeringan, pembakaran biskut, penggerlisan dan pembakaran akhir. Pengetahuan ini masih merupakan asas yang sangat penting.

Namun, perkembangan teknologi menunjukkan bahawa pelajar seramik pada masa hadapan mungkin perlu memahami lebih daripada proses studio konvensional.

Antara pengetahuan tambahan yang boleh diperkenalkan ialah:

  • reka bentuk digital
  • pemodelan tiga dimensi
  • pengurusan warna digital
  • asas "particle size"
  • asas "rheology"
  • sistem cetakan digital
  • "digital fabrication"
  • kelestarian bahan
  • analisis permukaan
  • pengujian bahan

Ini amat relevan kepada bidang reka bentuk seramik industri kerana seorang pereka pada masa hadapan mungkin perlu berkomunikasi dengan ahli sains bahan, jurutera, juruteknik mesin dan pakar digital.

Pada masa yang sama, pelajar dalam bidang seni seramik juga boleh mendapat manfaat daripada perkembangan ini. Teknologi boleh dilihat sebagai satu lagi medium eksperimen yang membuka cara baharu untuk membina permukaan, imej dan pengalaman visual.

Pendidikan seramik dengan itu tidak harus meninggalkan kemahiran tradisional. Sebaliknya, pembelajaran boleh menghubungkan pengetahuan tangan dengan pengetahuan digital.

13. Kesimpulan

Perkembangan "digital glazing" menunjukkan bahawa proses penggerlisan seramik sedang bergerak ke arah aplikasi yang lebih terkawal, tepat dan berasaskan data. Teknologi ini berkembang daripada kemajuan dekorasi digital dalam industri seramik dan kini mula memberi perhatian kepada aplikasi gerlis itu sendiri.

Walaupun mesin digital merupakan komponen penting, kejayaan proses masih bergantung kepada asas teknologi seramik seperti komposisi gerlis, "particle size", "rheology", pengeringan dan pembakaran. Ini menunjukkan bahawa teknologi baharu tidak menggantikan pengetahuan bahan. Sebaliknya, teknologi memerlukan pemahaman bahan yang lebih mendalam.

Penggunaan sistem berasaskan air turut menunjukkan potensi untuk mengurangkan beberapa bentuk pembaziran dan pelepasan bahan dalam proses penggerlisan. Pada masa yang sama, perkembangan seperti teknologi "sol-gel" menunjukkan bahawa inovasi gerlis turut berlaku pada tahap formulasi dan pembentukan lapisan.

Bagi pengkarya seramik, persoalan yang lebih menarik bukan sekadar sama ada teknologi digital boleh menghasilkan permukaan yang lebih sempurna. Persoalan yang boleh diterokai ialah bagaimana teknologi ini boleh digunakan sebagai sebahagian daripada bahasa seni.

Mungkin pada masa hadapan, perbezaan antara proses manual dan digital menjadi semakin kecil. Pengkarya boleh menggunakan tangan untuk membentuk tanah liat, data untuk mengawal gerlis dan pembakaran untuk membenarkan bahan memberikan tindak balas terakhir.

Di sinilah teknologi dan sifat semula jadi seramik boleh bertemu.

Persoalannya, adakah "digital glazing" pada masa hadapan hanya menjadi teknologi industri, atau ia juga akan berkembang menjadi satu lagi medium kreatif dalam seni seramik kontemporari?

Rujukan:

European Commission. (2021). Innovative approach for the digital ceramic tile glazing process, using a continuous inline glazer: Glazetile. Community Research and Development Information Service (CORDIS).

Fabris, R., Masi, G., Mazzini, D., Sanseverino, L., & Bignozzi, M. C. (2025). Tribomechanical properties of glazes for ceramic tiles: A novel protocol for their characterization. Materials, 18(1), Article 60. https://doi.org/10.3390/ma18010060

Jaramillo Nieves, L. J., Lot, A. V., Melchiades, F. G., & Boschi, A. O. (2020). Digital decoration for ceramic tiles: The effect of glazes particle size distribution on the inkjet decoration. Boletín de la Sociedad Española de Cerámica y Vidrio, 59(1), 44–48. https://doi.org/10.1016/j.bsecv.2019.06.005

Sfez, R., De-Botton, S., Avnir, D., & Wakshlak, R. (2022). Sol-gel glazes: A safe glass and ceramics coloring approach. Journal of Sol-Gel Science and Technology, 102, 562–573. https://doi.org/10.1007/s10971-021-05699-4

Yıldız, B. (2024). Effect of particle size distribution on the properties of celsian based glazes. Journal of the Australian Ceramic Society, 60, 1495–1504. https://doi.org/10.1007/s41779-024-01058-y

Tiada ulasan: